KUALA LUMPUR — Berjaya Food Berhad dijangka terus mencatatkan kerugian dalam masa terdekat apabila tekanan persaingan dan kos operasi yang tinggi masih membelenggu model perniagaannya.
Nota penyelidikan oleh CIMB Securities menegaskan bahawa walaupun kerugian kumpulan mengecil pada separuh pertama tahun kewangan 2026, laluan ke arah keuntungan masih belum kelihatan. Malah, kerugian berpotensi melebar semula sekiranya syarikat terpaksa meningkatkan perbelanjaan pemasaran bagi mempertahankan pelanggan dalam pasaran F&B yang semakin sesak.
Pada suku kedua FY2026, kumpulan merekodkan kerugian bersih teras RM11.9 juta, menjadikan jumlah kerugian separuh pertama mencecah RM26.5 juta. Walaupun angka ini lebih baik berbanding RM64.5 juta setahun lalu, ia tetap menandakan bahawa syarikat masih gagal kembali ke zon keuntungan.
Pertumbuhan hasil sebanyak 2.9% tidak cukup kuat untuk mengimbangi kelemahan operasi domestik, terutamanya selepas beberapa kedai tidak berprestasi ditutup. Hakikat bahawa pendapatan suku ke suku turut menyusut menunjukkan strategi rasionalisasi sedang menekan pertumbuhan jangka pendek.
Margin EBITDA yang bertambah baik pula lebih banyak disumbangkan oleh langkah pengurangan kos dan susut nilai — bukan kerana lonjakan permintaan — sekali gus menimbulkan persoalan mengenai kekuatan pemulihan sebenar.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan “kurangkan” dengan harga sasaran 20 sen, mencerminkan jangkaan bahawa cabaran struktur industri dan persaingan agresif akan terus mengekang prestasi kewangan kumpulan.
Setakat hingga kini Berjaya Food belum keluar daripada fasa defensif. Selagi pertumbuhan tidak cukup pantas untuk menampung kos dan tekanan margin, pelabur perlu bersedia menghadapi realiti bahawa syarikat ini berkemungkinan terus rugi untuk beberapa tempoh lagi.
Starbucks menyumbang kira-kira 80% daripada jumlah pendapatan BFood, menjadikannya komponen terpenting dalam portfolio kumpulan. Bagaimanapun Starbucks mengalami kerugian bersih sebanyak RM292 juta bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025. Kerugian ini sebahagian besarnya disumbangkan oleh prestasi lemah operasi Starbucks Malaysia, yang terjejas akibat kempen boikot berterusan sejak akhir 2023.
Berjaya Food Berhad (BFood), yang mengendalikan jenama Starbucks di Malaysia, mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM292 juta bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025. Kerugian ini sebahagian besarnya disumbangkan oleh prestasi lemah operasi Starbucks Malaysia, yang terjejas akibat kempen boikot berterusan sejak akhir 2023.

