Saham IJM naik 6.9% Susulan Cadangan Pengambilalihan Sunway RM 11bilion

KUALA LUMPUR, 13 Jan — Saham IJM Corporation Bhd melonjak ke paras tertinggi dalam tempoh lebih empat bulan pada Selasa selepas Sunway Bhd mengemukakan cadangan pengambilalihan secara tunai dan pertukaran saham bernilai melebihi RM11 bilion.

Harga saham IJM meningkat 19 sen atau 6.9% kepada RM2.94, paras tertinggi sejak Ogos lalu, sekali gus menilai kumpulan pembinaan itu pada sekitar RM10.7 bilion. Sebaliknya, saham Sunway susut 12 sen atau 2.1% kepada RM5.48, dengan permodalan pasaran dianggarkan RM37.3 bilion.

Di bawah struktur urus niaga yang dicadangkan, setiap 1,000 saham IJM akan ditukar dengan RM315 tunai serta 501 saham baharu Sunway yang dianggarkan bernilai RM2,835. Sekiranya berjaya, entiti gabungan Sunway–IJM dijangka muncul sebagai pesaing utama kepada Gamuda Bhd, syarikat pembinaan terbesar negara dari segi hasil.

Penganalisis Majoriti Sokong Tawaran, Kenanga Kekal Berbeza Pandangan

Majoriti firma penyelidikan mengesyorkan pemegang saham IJM menerima tawaran pengambilalihan RM3.15 sesaham oleh Sunway, dengan menilai harga tersebut sebagai adil. Namun, Kenanga Research mengambil pendirian bertentangan.

Kenanga menasihatkan pemegang saham agar menolak tawaran, dengan alasan ia berada di bawah harga sasaran firma itu iaitu RM3.40, selain komponen pertukaran saham yang didakwa terlebih nilai terhadap Sunway.

Menurut Kenanga, harga terbitan Sunway pada RM5.65 mencerminkan nisbah harga-ke-pendapatan (PER) tahun kewangan 2026 sebanyak 27.6 kali, jauh lebih tinggi berbanding 19.4 kali PER yang tersirat bagi IJM berdasarkan tawaran RM3.15 sesaham.

Kenanga turut menyatakan bahawa berdasarkan harga sasaran Sunway pada RM4.73, nilai tersirat tawaran kepada IJM hanyalah sekitar RM2.69 sesaham, lebih rendah daripada harga pasaran semasa RM2.75 serta harga sasaran RM3.40.

Firma Lain Lihat Nilai Strategik & Pulangan Jangka Panjang

Sebaliknya, kebanyakan firma penyelidikan lain berpandangan tawaran pengambilalihan sukarela (VTO) Sunway adalah munasabah dan mengesyorkan pemegang saham menerima tawaran tersebut, dengan mengambil kira potensi nilai tambah jangka panjang melalui penyertaan dalam kumpulan Sunway yang diperbesarkan.

TA Securities menyatakan harga tawaran itu mencerminkan nisbah PER hadapan yang selari dengan purata sejarah IJM serta hampir kepada nilai aset bersihnya, sekali gus memberi peluang kepada pelabur untuk mengewangkan pelaburan pada tahap yang adil.

Walaupun beberapa harga sasaran penganalisis kekal sedikit lebih tinggi daripada tawaran, mereka berpandangan premium berbanding harga pasaran terkini serta kepastian penilaian menyokong penerimaan tawaran tersebut.

Cadangan VTO itu menilai IJM pada kira-kira RM11 bilion, dengan struktur bayaran 90% dalam saham baharu Sunway dan 10% tunai.

Kelulusan & Sinergi Strategik Jadi Tumpuan

Tawaran ini tertakluk kepada syarat penerimaan minimum 50% tambah satu saham, selain kelulusan pemegang saham serta pihak berkuasa kawal selia. Penyempurnaan urus niaga disasarkan pada suku ketiga 2026.

Di luar aspek penilaian, penganalisis menekankan merit strategik penggabungan ini, khususnya dari segi peningkatan pendapatan (earnings accretive) dan sinergi skala yang signifikan.

Kumpulan Sunway–IJM dijangka muncul sebagai antara pemain hartanah dan pembinaan terbesar di Malaysia, dengan kunci kira-kira lebih kukuh serta keupayaan membida projek berskala besar.

IJM juga dijangka mendapat manfaat daripada keterlihatan pendapatan yang lebih stabil melalui akses kepada saluran pembangunan hartanah dalaman Sunway, yang lazimnya menawarkan margin lebih konsisten berbanding projek pembinaan tender terbuka.

Hong Leong Investment Bank menjangkakan sinergi kos melalui perolehan pukal, integrasi menegak dan kecekapan operasi akan menyokong margin keuntungan dalam tempoh sederhana.

“Kami melihat penggabungan yang dicadangkan ini sebagai langkah yang secara bermakna mengurangkan risiko kepada pemegang saham IJM, dengan pendedahan kepada platform pendapatan yang lebih besar, pelbagai dan berkualiti di bawah payung Sunway,” menurut TA dalam nota penyelidikannya.

Sunway turut memaklumkan bahawa ia tidak berhasrat mengekalkan status penyenaraian IJM, dengan penganalisis menjangkakan kemungkinan penyusunan semula atau penggabungan operasi pembinaan, pembuatan dan kuari selepas urus niaga dimuktamadkan.

Bagaimanapun dari segi sentimen politik pengambilalihan Sunway terhadap IJM pasti mengundang kritikan kerana IJM dilihat sebagai aset bumiputera yang sahamnya dimiliki oleh GLC seperti KWSP dan PNB. Mungkin juga bakal mengheret rakyat untuk membantah penjualan IJM kepada Sunway.

Pengambil alihan ini tidak dapat dielakkan memandangkan penglibatan istana dalam jual beli Sunway terhadap IJM.

Back To Top