Bekas SUSK Mohamaddin Ketapi Dipenjara 6 Tahun, Kena Denda RM8.8 juta

Bekas setiausaha Sulit Kanan bekas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Mohd Saifullah Mohd Minggu @ Mohd Hisham, dipenjara enam tahun dan didenda RM8.8 juta selepas didapati bersalah terhadap lapan tuduhan menerima rasuah RM1.77 juta berkaitan tender perkhidmatan pengiklanan kementerian itu pada tahun 2018.

Hakim Mahkamah Sesyen, Suzana Hussin mengenakan hukuman itu selepas mendapati pihak pembelaan tidak berjaya mematahkan anggapan Seksyen 50(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas imbangan kebarangkalian.

Sepanjang prosiding, Mohd Saifullah, 34 yang berkot biru dan berada dalam kandang tertuduh, menangis teresak-esak ketika Suzana mensabitkan dan menjatuhkan hukuman berkenaan.

Suzana turut memerintahkan Mohd Saifullah yang pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Sulit Kanan, Datuk Mohamaddin Ketapi dipenjara tujuh tahun jika gagal membayar jumlah denda terbabit.

“Mahkamah telah mensabitkan kamu dengan semua tuduhan, seterusnya mahkamah mempertimbangkan mitigasi untuk meringankan hukuman dan juga mendengar hujahan pendakwaan bagi pemberatan hukuman.

“Saya harap hukuman ini dapat menginsafkan kamu dan mengelakkan kamu daripada melakukan kesalahan pada masa akan datang.

“Kamu masih muda dan harap kamu akan insaf dan berubah kepada yang lebih baik,” katanya.

Back To Top