Untung Bersih 7-Eleven Susut, Kos Tinggi Tekan Prestasi

Kuala Lumpur – Untung bersih 7-Eleven Malaysia Holdings Bhd bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2025 susut 2.63 peratus kepada RM19.96 juta, berbanding RM20.5 juta pada tempoh sama tahun lalu. Penurunan itu berlaku walaupun hasil meningkat 7.16 peratus kepada RM805.59 juta daripada RM751.8 juta sebelumnya, didorong oleh pembukaan kedai baharu dan lonjakan perbelanjaan pengguna sempena sambutan Hari Raya.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata perbelanjaan operasi meningkat 10.6 peratus sepanjang suku tersebut, selari dengan waktu operasi yang lebih panjang serta penambahan 58 kedai baharu yang menjadikan keseluruhan rangkaian kini berjumlah 2,651 cawangan. Kos jualan dan pengedaran juga meningkat 14.1 peratus kepada RM228.3 juta berbanding RM200.06 juta setahun lalu.

Bagi separuh pertama 2025, keuntungan bersih kumpulan menyusut 8.25 peratus kepada RM30.59 juta, berbanding RM33.33 juta pada tempoh sama 2024. Namun, hasil melonjak 8.69 peratus kepada RM1.56 bilion. Pihak syarikat menjelaskan kemerosotan keuntungan itu banyak dipengaruhi oleh kos pengembangan CAFé by 7-Eleven, yang kini telah berkembang melebihi 700 cawangan di seluruh negara.

Mengenai prospek, 7-Eleven mengingatkan bahawa cabaran operasi masih ketara, antaranya kenaikan tarif elektrik di Semenanjung Malaysia bermula Julai 2025 hingga Disember 2027, selain peluasan cukai perkhidmatan yang kini meliputi sektor seperti pembinaan, kewangan, penjagaan kesihatan, pendidikan dan kecantikan. Syarikat menyatakan langkah itu akan terus memberi tekanan inflasi dan mengurangkan pendapatan boleh guna isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana.

Selain itu, syarikat turut mengakui faktor luaran seperti tarif balas Amerika Syarikat dan konflik geopolitik berterusan menambah risiko dan ketidaktentuan pasaran. Walau bagaimanapun, 7-Eleven menegaskan kumpulan kekal fokus terhadap inisiatif strategik yang selari dengan trend pasaran semasa, serta optimis terhadap peningkatan perbelanjaan pengguna sepanjang 2025 untuk menyokong prestasi yang lebih kukuh.

Back To Top