Viral semalam di media sosial seorang wanita tekad menikam seorang penunggang motorsikal menggunakan pisau. Malah dalam satu video yang dikongsi dalam group media sosial lain memperlihatkan dua orang wanita Melayu menjerit ketakutan melihat gelagat amukan wanita bersenjatakan pisau itu.

KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan wanita warga asing yang ditahan susulan insiden mengamuk hingga mencederakan enam individu di Kajang semalam adalah pelajar universiti awam di negara ini.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof, berkata suspek berusia 24 tahun itu kini direman tujuh hari sehingga 20 Ogos untuk siasatan lanjut.
Siasatan awal, katanya, mendapati suspek dipercayai bertindak demikian kerana dikatakan kecewa dengan layanan diterima semasa belajar dan kehidupannya yang menyebabkan dia tertekan.
“Namun, suspek tidak menyatakan secara terperinci bentuk layanan yang dimaksudkan. Tiada rekod menunjukkan dia mengambil sebarang ubatan atau berada dalam keadaan kemurungan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Setakat ini, Naazron berkata, seramai 11 saksi, termasuk mangsa sudah diambil keterangan bagi membantu siasatan yang masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
“Dua daripada mangsa yang cedera kini berada dalam keadaan stabil, namun masih ditahan di wad,” katanya.

Semalam, media melaporkan wanita warga asing mengamuk di sekitar Jalan Bukit, Kajang dengan menyerang orang awam menggunakan objek tajam pada jam 11.58 pagi sehingga menyebabkan enam mangsa berusia 21 hingga 60 tahun cedera, termasuk dua dirawat di wad manakala empat lagi menerima rawatan pesakit luar.

Suspek sebelum itu dilihat memandu kereta secara cuai sebelum melanggar tiga motosikal di persimpangan lampu isyarat sebelum keluar dari kenderaan sambil memegang sebilah pisau dan menyerang orang awam di lokasi.