RM7.5 Juta Dirampas, RM1 Juta Dibakar – Siapa Lulus Perolehan Ratusan Juta? Chong Yih Lip Hanya Kambing Hitam Sunway Construction?

Sunway Construction Group Bhd (SunCon), anak syarikat konglomerat gergasi Sunway Group, akhirnya mengesahkan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap salah seorang pegawai projeknya yang didakwa menerima rasuah berkaitan perolehan sub-kontrak projek pusat data bernilai lebih RM180 juta di Johor.

Siasatan ini mendedahkan wang tunai berjumlah RM7.5 juta, jongkong emas, jam tangan mewah dan barangan kemas ditemui di rumah Pengurus Suncon , Chong Yih Lip, di Petaling Jaya. Malah, menurut SPRM, beliau cuba membakar hampir RM1 juta wang tunai sejurus sebelum serbuan dilakukan, dipercayai untuk memusnahkan bukti.

Pengakuan SunCon: Siasatan “Terpencil”?

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, SunCon menyatakan siasatan SPRM ini adalah “terpencil” dan tidak melibatkan cara syarikat memperoleh kontrak daripada pelanggannya. Dalam kes pusat data dibina merupakan milik K2 Strategic Infrastructure Malaysia Sdn. Bhd, anak syarikat kepada K2 Strategic Pte Ltd (Singapura) yang dikaitkan secara langsung dengan Kuok Meng Wei — cucu kepada hartawan terkenal, Tan Sri Robert Kuok. Tiada rasuah lobi projek data ini?

SunCon turut menyatakan tiada kesan kewangan atau operasi kepada kumpulan, dan mereka sedang mendapatkan nasihat guaman untuk tindakan lanjut terhadap kontrak serta pihak berkaitan.

Namun, pasaran kewangan memberi reaksi berbeza. Saham SunCon merudum sebanyak 17.56% dan mencatatkan kejatuhan paling besar serta menjadi kaunter paling aktif diniagakan di Bursa Malaysia pada hari Isnin lalu. Ia kemudian ditutup susut 11.2% kepada RM5.31, berbanding RM5.98 pada Jumaat sebelumnya.

Pendedahan: “Projek Diluluskan Pegawai Atasan?”

Portal  The Malaysian Corporate mendedahkan maklumat yang jauh lebih serius daripada apa yang diumumkan oleh syarikat iaitu mana mungkin seorang pengurus projek sahaja boleh menguruskan perolehan projek mencecah RM300 juta serta melantik sub-kontraktor utama tanpa kelulusan pihak atasan?

Menurut sumber dalaman, semua kelulusan tersebut telah diperakui dan diluluskan oleh Tan Sri Dato’ Seri Sir Dr Jeffrey Cheah sendiri, pengasas Sunway Group.”

Pendedahan ini menimbulkan persoalan besar;

Apakah Chong Yih Lip bertindak bersendirian atau dijadikan kambing hitam?

Mengapa pihak pengurusan tertinggi Sunway Group, termasuk Lembaga Pengarah SunCon, tidak disiasat secara menyeluruh?

Adakah proses kelulusan projek besar seperti ini tidak melalui sistem audit dan kawalan dalaman?

Duit siapa RM7.5 juta? Mungkinkah dana seperti ini lebih banyak di luar sana disimpan bagi projek Suncon bernilai ratusan juta?

Konflik Kepentingan dan Ketirisan Korporat

Difahamkan, SPRM turut mengenal pasti dua syarikat lain yang dipercayai memenangi kontrak dengan memberi rasuah kepada Chong Yih Lip. Ini menimbulkan persoalan tentang integriti keseluruhan rantaian pembekalan dan perolehan projek SunCon, terutamanya dalam sektor berprofil tinggi seperti pusat data milik K2 Strategic — bidang yang semakin mendapat tempat di Malaysia berikutan pelaburan digital berbilion ringgit.

Tambahan lagi, dengan nilai buku pesanan tertunggak SunCon mencecah hampir RM8 bilion, kes ini bukan sahaja mencemarkan reputasi syarikat, tetapi turut menjejaskan keyakinan pelabur terhadap piawaian tadbir urus korporat konglomerat ternama itu.

Tekanan Awam dan Desakan Audit Bebas

Pakar pasaran menyifatkan kenyataan SunCon sebagai tidak memadai dan cuba mengecilkan skala skandal. Pemegang saham minoriti dan kumpulan pemerhati korporat kini pastinya meminta siasatan audit forensik bebas terhadap semua perolehan projek pusat data oleh SunCon sejak tahun 2022.

Antara gesaan utama termasuk:

Audit menyeluruh terhadap semua kontrak yang ditandatangani oleh Chong Yih Lip.

Penyiasatan ke atas proses kelulusan oleh pihak pengurusan tertinggi Sunway Group.

Pendedahan penuh senarai subkontraktor dan rekod bayaran kepada pihak berkepentingan.

Titik Hitam dalam Legasi Sunway?

Dengan reputasi sebagai kumpulan yang menekankan ESG dan prinsip integriti, pendedahan ini boleh menjadi titik hitam dalam legasi Tan Sri Jeffrey Cheah — pengasas dan tokoh yang dihormati dalam dunia korporat Malaysia.

Persoalannya kini: Adakah Sunway akan bertanggungjawab secara kolektif atau terus menyalahkan seorang pengurus semata-mata? SPRM dijangka akan memanggil lebih ramai saksi dan pegawai dalam masa terdekat bagi meneruskan siasatan, yang berpotensi menjadi antara skandal rasuah korporat terbesar tahun ini.

Back To Top