Di sebalik pemulihan kukuh pasaran buruh negara dengan kadar pengangguran turun ke paras terendah sejak pandemik, seramai 2.06 juta individu berkelulusan tertiari dilaporkan masih terperangkap dalam pekerjaan yang tidak setaraf dengan kelayakan akademik mereka.
Perkara itu didedahkan dalam Statistik Tenaga Buruh Tahunan 2024 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini, sekali gus memperlihatkan dilema ketidakpadanan kemahiran atau ‘job mismatch’ yang semakin ketara dalam kalangan graduan.

Menurut laporan itu, guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran iaitu individu yang memiliki pendidikan tertiari tetapi bekerja dalam pekerjaan separuh mahir atau rendah mahir meningkat kepada 2.06 juta orang pada 2024, berbanding 2.04 juta orang pada tahun sebelumnya.
Walaupun peratusan mereka sedikit menurun daripada 36.3 peratus kepada 36.1 peratus, peningkatan dalam bilangan mutlak menunjukkan isu ini masih berlarutan dan membimbangkan. Ini mencerminkan sebahagian besar graduan mungkin terpaksa menerima pekerjaan yang tidak memerlukan kemahiran atau kelayakan mereka demi menyara hidup.
Secara keseluruhan, pasaran buruh Malaysia mencatatkan prestasi memberangsangkan pada 2024, dengan kadar pengangguran menurun kepada 3.2 peratus, iaitu lebih baik daripada paras prapandemik 3.3 peratus pada 2019. Bilangan penganggur turut menyusut kepada 534,100 orang, dengan sebahagian besar penurunan melibatkan golongan belia berusia 15 hingga 24 tahun.

Namun, di sebalik angka pengangguran yang menurun, realiti yang dihadapi oleh sebahagian besar graduan adalah berbeza. Mereka kini berdepan cabaran ‘underemployment’, iaitu bekerja dalam sektor yang tidak memanfaatkan kemahiran atau latar belakang pendidikan mereka secara optimum.
DOSM turut melaporkan bahawa pekerjaan separuh mahir masih mendominasi pasaran kerja, merangkumi 56.5 peratus daripada keseluruhan guna tenaga, berbanding hanya 30.2 peratus bagi pekerjaan mahir dan 13.3 peratus bagi pekerjaan rendah mahir.
Situasi ini memberi gambaran bahawa peluang pekerjaan yang tersedia masih belum sejajar dengan peningkatan kadar penyertaan tenaga buruh berpendidikan tinggi, yang terus bertambah saban tahun.
Sementara itu, enam negeri mencatatkan kadar guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran yang lebih rendah daripada kadar nasional. Antaranya Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (18.6 peratus), Pulau Pinang (26.5 peratus) dan Negeri Sembilan (31.3 peratus). Sebaliknya, Kelantan mencatatkan kadar tertinggi iaitu 52.3 peratus, diikuti Terengganu dan Pahang.
Ketidaksepadanan antara kemahiran dan peluang kerja ini memberi isyarat bahawa strategi pemadanan kemahiran dengan keperluan industri perlu diperkasa, termasuk dalam aspek pembangunan modal insan, pelaburan sektor berteknologi tinggi dan pemerkasaan pendidikan teknikal dan vokasional (TVET).
Meskipun pertumbuhan ekonomi negara pada 2024 disokong oleh pemulihan eksport dan pelaburan dalam sektor perkhidmatan dan pembuatan, pasaran kerja masih perlu diperkasakan secara lebih menyeluruh agar tidak sekadar mencatat angka positif, tetapi benar-benar memberi nilai kepada tenaga kerja berpendidikan tinggi.
Laporan itu turut menyebut bahawa pertumbuhan ekonomi yang sederhana dijangka berterusan pada 2025, disokong peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN dan pelaksanaan inisiatif seperti Rangkaian Kampung ASEAN yang menyasarkan pembangunan luar bandar dan peningkatan kemahiran.
Secara keseluruhannya, cabaran utama bukan lagi sekadar mencipta pekerjaan, tetapi mencipta pekerjaan yang setaraf dan bermakna bagi golongan berpendidikan tinggi, terutama dalam era pasca pandemik yang semakin kompetitif dan berlandaskan digital.