Konsortium RedBird Capital capai Perjanjian RM3 bilion untuk ambil alih The Telegraph

LONDON — Sebuah konsortium yang diterajui firma ekuiti swasta Amerika Syarikat, RedBird Capital Partners, telah mencapai persetujuan untuk mengambil alih The Daily Telegraph, salah satu akhbar paling berpengaruh di Britain, menerusi perjanjian yang dilaporkan bernilai RM 3bilion (£500 juta)

Transaksi ini menandakan perkembangan penting dalam kisah pemilikan akhbar berhaluan kanan itu, yang telah lama berdepan ketidakpastian susulan campur tangan politik dan penelitian peraturan yang ketat.

Menurut laporan The Telegraph pada Jumaat, RedBird Capital — yang sebelum ini menyumbang kira-kira 25% dana untuk usaha sama RedBird IMI yang memegang pemilikan akhbar tersebut — kini mengambil alih kawalan secara langsung. Konsortium itu turut dijangka melibatkan pelabur media terkemuka dari Britain.

Langkah ini menyusul selepas RedBird IMI, satu usaha sama yang disokong Abu Dhabi dan diketuai bekas Ketua CNN, Jeff Zucker, terpaksa menjual pegangan mereka berikutan larangan kerajaan UK pada 2023 terhadap pemilikan akhbar British oleh negara asing. Larangan itu, yang dipacu kebimbangan keselamatan negara dan pengaruh politik, menyasarkan entiti media yang dibiayai oleh kerajaan asing.

Perjanjian ini sekali lagi mencetuskan perdebatan luas di UK mengenai kebebasan media dan pengaruh asing dalam sektor media tempatan. The Telegraph, yang terkenal dengan sokongannya terhadap Brexit dan hubungan rapatnya dengan politik konservatif, dilihat sebagai tonggak penting dalam landskap media British.

Sementara kerajaan Konservatif sebelum ini mengenakan larangan ketat, pentadbiran baharu pimpinan Parti Buruh telah mengumumkan pendekatan lebih fleksibel, mencadangkan pelabur milik negara asing dibenarkan memiliki sehingga 15% dalam syarikat penerbitan akhbar British — satu langkah yang mungkin membuka ruang kepada perkongsian pelaburan baharu pada masa depan.

Walaupun pengumuman telah dibuat, The Telegraph memaklumkan bahawa tiada perjanjian muktamad yang ditandatangani setakat ini dan urus niaga tersebut masih tertakluk kepada penelitian pengawalseliaan.

“Kami percaya UK adalah tempat yang sangat baik untuk pelaburan, dan pengambilalihan ini merupakan sebahagian penting daripada portfolio RedBird yang semakin berkembang dalam sektor media dan hiburan di UK,” kata pengasas RedBird Capital, Gerry Cardinale seperti yang dipetik oleh akhbar tersebut.

Jika diluluskan, perjanjian ini bakal meletakkan The Telegraph di bawah kawalan majoriti firma ekuiti swasta Barat yang semakin aktif dalam sektor media global — sekali gus mungkin menamatkan episod pemilikan kontroversi dalam sejarah panjang akhbar tersebut.

Back To Top