Pada 13 September tahun lalu syarikat senarai awam SEAL Incorporated Bhd, yang dikuasai oleh taikun Cina Semenanjung Chen Khai Voon (atau Aaron Chen Khai Voon), mengumumkan kepada Bursa Malaysia bahawa anak syarikatnya, MSR Green Energy Sdn Bhd, telah memperolehi tender untuk Projek BESS bernilai RM645 juta.
Pada 30 April lalu MSR Green Energy Sdn Bhd juga mengumumkan bahawa mereka memperoleh pinjaman bank daripada AmBank Group berjumlah RM408.2 juta bagi membiayai sebahagian daripada projek tersebut, yang bertujuan untuk membangunkan sistem penyimpanan tenaga berskala besar (BESS) di Lahad Datu.
Menurut makluman yang dikeluarkan di Bursa Malaysia, pembiayaan tersebut disediakan oleh Kumpulan AmBank.
“Projek bernilai RM644.6 juta ini dianugerahkan kepada MSR Green Energy oleh Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) pada bulan September tahun lalu,” kata syarikat tersebut.
Projek ini dijangka menjadi salah satu sistem penyimpanan tenaga bateri terbesar di Asia Tenggara dan yang pertama seumpamanya di Sabah, dengan kapasiti akhir sebanyak 517 megawatt-jam (MWh).
Pengarah MSR Green Energy, Ong Kah Hui, menyatakan bahawa matlamat utama projek ini adalah untuk menstabilkan bekalan elektrik, menambah simpanan tenaga semasa permintaan puncak, serta menyokong pertumbuhan kemudahan tenaga boleh diperbaharui di wilayah tersebut.
“Dengan sokongan kewangan daripada AmBank, projek penyimpanan tenaga berskala besar ini merupakan langkah penting ke arah mencapai visi bersama untuk masa depan yang lebih lestari,” katanya.
Ditubuhkan pada tahun 2012, MSR Green Energy merupakan syarikat tenaga boleh diperbaharui dengan rekod kejayaan dalam melaksanakan 39 projek solar fotovoltaik. Syarikat ini kini juga sedang membangunkan dua projek solar berskala besar di bawah program Corporate Green Power, yang melibatkan kapasiti keseluruhan 95 megawatt-puncak (MWp) dan dijangka siap menjelang akhir tahun 2025.
Pendedahan Mengenai Projek BESS
Kerajaan Sabah telah mengumumkan bahawa mereka akan mengambil alih SESB dalam tujuh tahun dari sekarang.
Menurut pendedahan yang dibuat oleh The Malaysia Corporate pada tahun lalu, Projek BESS yang dimiliki oleh Aaron Chen Khai Voon ini didakwa dilobi oleh Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin.
Projek BESS RM645 juta ini, bagaimanapun, dilihat sebagai terlalu mahal berbanding tawaran tender lain. Kerajaan Sabah dilaporkan akan menanggung kerugian sebanyak RM49 juta setahun dari projek ini untuk tempoh 20 tahun. Bayangan kerugian rakyat Sabah nanti.

Pendedahan lain yang lebih mengejutkan adalah keuntungan besar yang diperoleh oleh MSR Green Energy dari projek ini, di mana Sungrow, pembekal BESS dari China, hanya membekalkan sistem BESS dengan kos RM322 juta, berbanding kontrak projek yang berjumlah RM645 juta. Ini menunjukkan jurang keuntungan yang ketara, dengan Bung Moktar dilaporkan menerima RM100 juta dari Chen Khai Voon melalui projek ini.
Untuk lebih lanjut mengenai isu ini, anda boleh merujuk artikel-artikel berikut: