Grab Perkenalkan AI Merchant Assistant dan AI Driver Companion Untuk Bantu Pemandu Grab

Grab memperkenalkan dua penyelesaian kecerdasan buatan (AI) baharu yang direka untuk membantu rakan niaga dan pemandu memaksimumkan potensi mereka di platform Grab.

Penyelesaian AI itu membantu 44 juta pengguna aktif bulanan di lapan negara dan lebih 800 bandar di Asia Tenggara.

Ketua Pegawai Produk Grab, Philipp Kandal, berkata penyelesaian baharu yang dikenali sebagai AI Merchant Assistant dan AI Driver Companion itu dibangunkan bersama organisasi penyelidikan AI terkemuka dunia, OpenAI dan Anthropic.

Beliau berkata, ia menawarkan panduan pintar serta maklumat penting yang boleh diambil tindakan secara terus oleh pengguna, khususnya peniaga kecil dan pemandu e-hailing.

Katanya, langkah itu susulan pengumuman kerjasama lanjutan Grab dengan OpenAI yang dimeterai pada Mei 2024, selain memeterai kerjasama strategik baharu bersama Anthropic, syarikat pembangun model AI Claude, bagi membangunkan penyelesaian AI generatif dan menguji model Claude terkini.

Menurutnya, Grab mahu memastikan setiap peniaga dan pemandu mempunyai akses kepada teknologi canggih agar mereka mampu bersaing serta terus berjaya dalam era digital.

“Rakan niaga dan pemandu kami adalah antara individu paling berjiwa usahawan di Asia Tenggara. Kami mahu melengkapkan mereka dengan alat untuk berjaya, khususnya dalam dunia yang semakin didorong AI.

“Penyelesaian AI itu direka bentuk sebagai pembantu peribadi pintar yang membantu meningkatkan produktiviti dan membolehkan mereka menumpukan kepada tugas utama iaitu memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan,” katanya ketika majlis GrabX 2025 di sini, hari ini.

Kandal berkata, AI Merchant Assistant ialah chatbot berasaskan model bahasa besar (LLM) yang diintegrasikan dalam aplikasi GrabMerchant.

Beliau berkata, ia memberi maklumat yang diperibadikan kepada peniaga, menjawab soalan berkaitan operasi perniagaan, serta memberikan cadangan bagaimana untuk meningkatkan jualan.

Antara fungsi utamanya adalah membantu merancang kempen iklan, mengemaskini menu dan dalam masa terdekat, mencadangkan penyelesaian pembiayaan melalui produk GrabFin serta bank digital Grab.

Katanya, ia adalah penasihat perniagaan yang memahami keperluan unik setiap peniaga kecil.

Sementara itu, AI Driver Companion pula menawarkan dua ciri baharu dalam aplikasi Grab Driver panduan laluan pintar dan alat pelaporan suara AI.

“Panduan laluan pintar menggunakan data masa nyata dan sejarah untuk meramalkan lokasi permintaan tinggi, membantu pemandu bergerak ke kawasan tersebut lebih cepat dan cekap.

“Kini, lebih 250,000 pemandu di seluruh Asia Tenggara menggunakan ciri ini setiap minggu. Alat pelaporan suara AI pula membolehkan pemandu membuat laporan keadaan jalan secara lisan dalam pelbagai bahasa, termasuk kesesakan, banjir atau kerja penyelenggaraan,” katanya.

Sejak dilancarkan secara percubaan, lebih 900,000 pemandu menghantar 16,000 laporan setiap hari, yang digunakan untuk meningkatkan ketepatan peta GrabMaps.

AI Merchant Assistant dibangunkan bersama OpenAI dan Anthropic, manakala AI Driver Companion menggunakan teknologi OpenAI, termasuk GPT-4o dan Real Time API, bagi memastikan komunikasi suara yang cepat, tepat dan lebih empati.

Kandal berkata, kerjasama menang-menang bersama organisasi AI bertaraf dunia itu membolehkan Grab mencipta penyelesaian inovatif.

Beliau berkata, ia juga membantu rakan teknologi memperhalusi model mereka berdasarkan kes penggunaan dunia sebenar.

“Grab menjangkakan penggunaan AI ini akan terus diperluaskan bagi membantu lebih ramai pengguna di rantau ini menghadapi cabaran digital dan meningkatkan daya saing mereka dalam pasaran moden,” katanya.

Back To Top