Liabiliti cukai RM246 juta: LHDN terima rayuan DRB-Hicom milik Syed Mokhtar

DRB-Hicom Bhd tidak lagi berdepan dengan potensi liabiliti cukai berjumlah RM246.25 juta selepas Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menerima rayuannya untuk mengubah keputusan berkaitan klasifikasi keuntungan daripada pelupusan kepentingan dalam Alam Flora Sdn Bhd sebagai pendapatan bercukai.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, DRB-Hicom memaklumkan bahawa anak syarikatnya, Hicom Holdings Bhd (HHB), telah menerima pemberitahuan rasmi daripada LHDN yang mengesahkan pelepasan penuh jumlah cukai tersebut.

Pelepasan ini dibuat selepas HHB mengemukakan rayuan terhadap notis taksiran tambahan yang diterima pada 30 Ogos 2024, bersama dokumen sokongan tambahan.

“LHDN, selepas pertimbangan sewajarnya, telah membenarkan rayuan dan memutuskan bahawa keuntungan daripada pelupusan anak syarikat tidak tertakluk kepada cukai di bawah Seksyen 4(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi tahun taksiran 2020,” kata DRB-Hicom.

Seksyen 4(a) merujuk kepada kategori pendapatan tertentu yang boleh dikenakan cukai.

Tahun lalu, LHDN mengenakan cukai sebanyak RM246.25 juta terhadap DRB-Hicom selepas mengklasifikasikan keuntungan daripada pelupusan pegangan jangka panjang sebanyak 97.37% dalam Alam Flora sebagai pendapatan bercukai. Pelaburan ini telah dipegang oleh HHB selama 24 tahun.

Berdasarkan laporan tahunan 2019 DRB-Hicom, penjualan tersebut dimuktamadkan dengan nilai tunai RM869 juta, dibayar oleh anak syarikat Malakoff Corp Bhd, Tunas Pancar Sdn Bhd. Perjanjian ini menghasilkan keuntungan pelupusan sebanyak RM514.67 juta untuk DRB-Hicom.

Urus niaga ini juga dikategorikan sebagai transaksi pihak berkaitan, memandangkan pemegang saham utama DRB-Hicom dengan pegangan sebanyak 55.92%, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary, turut mempunyai kepentingan sebanyak 38.45% dalam Malakoff.

Back To Top