KWSP Isytihar Dividen 6.30% Untuk Simpanan Konvensional Dan 6.30% Untuk Simpanan Shariah

Lembaga Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini mengumumkan kadar dividen sebanyak 6.30% bagi Simpanan Konvensional, dengan jumlah agihan sebanyak RM63.05 bilion; dan 6.30% bagi Simpanan Shariah, dengan jumlah agihan sebanyak RM10.19 bilion. Ini menjadikan jumlah keseluruhan agihan untuk tahun 2024 sebanyak RM73.24 bilion.

Bagi tahun berakhir 31 Disember 2024, KWSP mencatatkan jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM74.46 bilion, meningkat 11% berbanding RM66.99 bilion yang direkodkan pada 2023. Jumlah ini adalah selepas mengambil kira turun nilai kos ke atas ekuiti tersenarai bagi tahun tersebut. 

Aset pelaburan KWSP mencapai RM1,249.71 bilion, naik 10% daripada RM1,135.82 bilion pada 2023. Peningkatan ini didorong oleh pendapatan portfolio yang kukuh serta jumlah caruman bersih sebanyak RM108.22, naik 11% daripada RM97.56 bilion pada 2023.

Pengerusi KWSP Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, “Alhamdulillah, KWSP berbesar hati untuk mengumumkan kadar dividen yang lebih tinggi bagi tahun 2024, didorong oleh pemulihan pasaran global dan domestik, pertumbuhan ekonomi yang kukuh, serta pengurusan portfolio yang berhemah. Dengan memanfaatkan perkembangan positif ini, strategi pelaburan kami yang pelbagai membolehkan kami meraih peluang pertumbuhan, mengoptimumkan pulangan, dan memperkukuh jaminan kewangan jangka panjang untuk ahli kami.

“Di peringkat domestik, pelaburan yang kukuh, pasaran buruh yang sihat, dan inflasi yang stabil telah merangsang permintaan, sementara eksport mendapat manfaat daripada kestabilan global dan kitaran pertumbuhan teknologi. Di bawah pentadbiran YAB Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim, inisiatif kerajaan di bawah Belanjawan 2024, serta pelan strategik yang lebih luas di bawah kerangka Ekonomi MADANI telah menarik pelaburan asing dan mengukuhkan ekonomi, selain mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk pertumbuhan yang mampan,” tambah beliau.

Ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 5.1% (2023: 3.6%) dengan pasaran saham menunjukkan kekuatan yang ketara. Penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) mencatat pertumbuhan dua angka sebanyak +12.9% (2023: -2.7%) dan memuncak pada 1,678.80 mata pada Ogos, paras tertinggi sejak Disember 2020. 

Prestasi global pula bercampur-campur, mencerminkan keadaan ekonomi yang berbeza mengikut rantau. Bank-bank pusat di seluruh dunia mengekalkan kadar faedah yang agak tinggi bagi membendung tekanan inflasi daripada tahun-tahun sebelumnya. Walaupun kadar faedah yang lebih tinggi lazimnya menekan penilaian ekuiti, ia juga mencipta peluang pelaburan dalam pendapatan tetap, memberi kesan bercampur kepada pasaran saham.

Tan Sri Mohd Zuki menekankan bahawa ketidaktentuan pasaran yang dialami pada tahun 2024 menggariskan kepentingan Alokasi Aset Strategik (SAA) KWSP dalam mengharungi keadaan ekonomi yang mencabar.

“SAA memainkan peranan penting dalam mengekalkan prestasi portfolio yang stabil, memastikan ketahanan jangka panjang portfolio pelaburan KWSP. Dengan mengimbangi risiko dan pulangan, pendekatan ini bukan sahaja melindungi dana daripada ketidaktentuan pasaran, tetapi juga menyokong pembayaran dividen yang mampan untuk ahli kami,” katanya.
 

Prestasi Pelaburan KWSP pada Tahun 2024

Kelas aset Ekuiti menyumbang RM49.79 bilion selepas turun nilai kos, mewakili 67% daripada jumlah pendapatan pelaburan KWSP dengan pulangan pelaburan (ROI) sebanyak 9.90%. Kenaikan pendapatan melebihi RM39.01 bilion pada 2023 didorong oleh pendekatan strategik dan kecekapam pengurus dana dalam memanfaatkan keuntungan semasa tempoh ketidaktentuan pasaran, serta prestasi kukuh di pasaran ekuiti. Pada tahun 2024, penurunan nilai kos bagi ekuiti tersenarai adalah RM0.72 bilion. Pelaburan Ekuiti Persendirian, yang merangkumi hampir 10% daripada pelaburan ekuiti, mencatatkan ROI sebanyak 11.33%.

Instrumen Pendapatan Tetap terus menjadi tunjang dalam mengekalkan pulangan stabil serta mengurangkan kesan turun naik pasaran jangka pendek. Kelas aset ini, yang merangkumi Sekuriti Kerajaan Malaysia, menyumbang RM21.91 bilion atau 29% daripada jumlah pendapatan pelaburan KWSP bagi 2024, dengan ROI sebanyak 4.27%. Pendapatan yang lebih tinggi ini, berbanding RM19.74 bilion pada 2023, sejajar dengan pertumbuhan saiz aset.

Pelaburan Hartanah dan Infrastruktur mencatatkan pendapatan sebanyak RM1.64 bilion, dengan ROI sebanyak 5.13% berdasarkan mata wang tetap. Pendapatan daripada instrumen Pasaran Wang pula berjumlah RM1.12 bilion dengan ROI sebanyak 1.89%. Memandangkan majoriti pelaburan ini adalah dalam mata wang asing, prestasi keseluruhan kategori aset ini terjejas oleh kerugian pertukaran mata wang susulan pengukuhan Ringgit berbanding Dolar AS pada 2024.

Instrumen Pendapatan Tetap mewakili 46.2% daripada aset pelaburan, manakala Ekuiti 43.5%. Hartanah dan Infrastruktur serta Instrumen Pasaran Wang masing-masing mewakili 6.3% dan 4% daripada aset KWSP.

Pada Disember 2024, aset pelaburan KWSP berjumlah RM1,249.71 bilion, di mana 63% daripadanya dilaburkan dalam pasaran domestik. Pelaburan domestik menjana RM37.02 bilion atau 49.7% daripada jumlah pendapatan pelaburan, memberikan kestabilan kepada jumlah keseluruhan pendapatan pelaburan KWSP. Aset global pula menjana pendapatan sebanyak RM37.44 bilion atau 50.3% daripada jumlah pendapatan pelaburan.

Daripada jumlah RM74.46 bilion pendapatan pelaburan keseluruhan, RM63.59 bilion dijana untuk Simpanan Konvensional, manakala RM10.87 bilion adalah untuk Simpanan Shariah. 

Bermula Januari 2024, KWSP telah memisahkan sepenuhnya portfolio Simpanan Konvensional dan Simpanan Shariah. Langkah ini membolehkan setiap portfolio mengoptimumkan pulangannya dalam jangka panjang melalui alokasi aset strategik tersendiri. Pemisahan ini juga meningkatkan kepelbagaian, memastikan aset di bawah Simpanan Shariah dan Simpanan Konvensional diagihkan dengan baik merentasi kelas aset, geografi, pasaran, dan industri bagi menjamin pulangan yang mampan.
 

Pertumbuhan Keahlian KWSP Mencerminkan Liputan yang Semakin Meluas

KWSP mencatatkan pertumbuhan keahlian yang kukuh, sejajar dengan pemulihan berterusan dalam pasaran buruh Malaysia. Pendaftaran ahli baharu mencapai 475,752, menjadikan jumlah keseluruhan ahli KWSP sebanyak 16.22 juta. Daripada jumlah ini, 8.78 juta adalah ahli aktif1, mewakili 51% daripada 17.32 juta tenaga buruh2 Malaysia. Nisbah ahli aktif kepada ahli tidak aktif pada tahun 2024 juga bertambah baik kepada 54:46.

Peningkatan bilangan ahli aktif ini didorong oleh usaha berterusan KWSP dalam memperluaskan liputan. Tan Sri Mohd Zuki menekankan bahawa dengan usaha perluasan liputan ini, KWSP bukan sahaja memperkukuh perlindungan sosial dan keselamatan persaraan, tetapi juga meningkatkan keterangkuman dan daya tahan yang lebih tinggi. Selain itu, Program Outreach KWSP mencatat pertumbuhan yang memberangsangkan dalam jumlah pencarum sukarela kepada 1,193,396, naik 32% daripada 902,213 pada tahun 2023.

Program i-Saraan mencatatkan peningkatan yang kukuh pada tahun 2024, dengan penyertaan meningkat sebanyak 38% kepada 529,667, daripada 383,082 pada tahun 2023, sekaligus membolehkan lebih ramai pekerja sektor tidak formal menyimpan untuk persaraan. Jumlah caruman i-Saraan juga meningkat dengan ketara sebanyak 83% daripada RM1.44 bilion pada tahun 2023 kepada RM2.64 bilion pada tahun 2024.

Jumlah keseluruhan caruman pada tahun 2024 meningkat sebanyak 11% kepada RM108.22 bilion, mencerminkan peningkatan jumlah ahli, perkembangan . Pendaftaran majikan baharu pula berjumlah 71,471, menjadikan jumlah keseluruhan majikan berdaftar sebanyak 614,563.
 

Halatuju 2025

Persekitaran pelaburan sedang berdepan risiko yang semakin meningkat akibat faktor geopolitik, tarif dan perang dagang, sekatan bukan tarif, perubahan iklim, inflasi, serta gangguan teknologi. Perubahan perdagangan global dan peralihan daripada multilateralisme dijangka memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi dunia dan dasar bank pusat. Sebaliknya, ekonomi Malaysia dijangka kekal berdaya tahan, didorong oleh permintaan domestik yang kukuh, pertumbuhan pelaburan, dan prestasi eksport yang berterusan.


Tan Sri Mohd Zuki menegaskan komitmen KWSP terhadap pertumbuhan mampan yang dipandu oleh Alokasi Aset Strategik (SAA) KWSP. Instrumen Pendapatan Tetap akan terus menjadi tunjang utama portfolio bagi memastikan kestabilan, manakala Ekuiti domestik akan memainkan peranan penting dalam menjana pulangan.

“Komitmen KWSP adalah untuk memberikan pulangan yang kukuh dan konsisten di samping mengekalkan peranannya sebagai institusi simpanan persaraan yang dipercayai. Seiring dengan perkembangan ekonomi, kami mengurus risiko dengan teliti bagi memastikan keseimbangan antara keuntungan jangka pendek dan kestabilan jangka panjang, seterusnya membolehkan kami memberikan dividen yang adil dan berdaya saing kepada lebih 16 juta ahli,” katanya.

Pengkreditan dividen bagi Simpanan Konvensional dan Simpanan Shariah akan selesai pada Ahad, 2 Mac 2025. Ahli boleh menyemak akaun mereka melalui i-Akaun atau mendapatkan penyata di Terminal Layan Diri (SST) KWSP di seluruh negara.

*Rujuk Lampiran 1 untuk Ringkasan Prestasi Pelaburan KWSP 2024; Carta Dividen KWSP dari 2010 hingga 2024; dan Aset Pelaburan KWSP sehingga 31 Disember 2024.
*Rujuk Lampiran 2 untuk Jadual KWSP sehingga Disember 2024 Pendaftaran Ahli/Majikan; Simpanan Ahli KWSP Mengikut Kumpulan Umur (setakat 31 Disember 2024); Simpanan Ahli KWSP Mengikut Kumpulan Kaum (setakat 31 Disember 2024); dan Simpanan Ahli KWSP Mengikut Julat Simpanan (setakat 31 Disember 2024).

Dikeluarkan oleh Media Desk KWSP
Jabatan Hal Ehwal Korporat
1 Mac 2025

 

Back To Top