Perebutan korporat keluarga Kwek: Bapa cuba singkir anak sebagai CEO Kumpulan CDL Singapura

Satu perebutan kuasa antara bapa dan anak sedang melibatkan keluarga bilionair Singapura.

Kwek Leng Beng, pengerusi eksekutif City Developments Limited (CDL), sedang berusaha untuk memecat anaknya, Sherman, daripada jawatan CEO kumpulan. Beliau juga telah memfailkan saman berhubung dakwaan kelemahan tadbir urus serta cubaan rampasan kuasa di peringkat lembaga pengarah.

Klan Kwek merupakan salah satu nama perniagaan paling terkenal di Singapura, dengan konglomerat mereka telah berkembang merentasi tiga generasi.

KELUARGA KWEK

Kwek Leng Beng, 84, ialah pengerusi eksekutif Hong Leong Group, sebuah konglomerat yang diasaskan oleh mendiang bapanya, Kwek Hong Png, pada tahun 1941.

Hong Leong mempunyai perniagaan teras dalam pembangunan hartanah, hotel, perkhidmatan kewangan, serta perdagangan dan industri. Kumpulan ini memperoleh pegangan kawalan dalam CDL pada tahun 1972.

CDL menghadapi masalah kewangan pada tahun 1969 apabila Kwek Leng Beng mencadangkan kepada bapanya untuk mula membina pegangan mereka dalam syarikat tersebut.

Di bawah kepimpinan mereka, CDL mula mencatat keuntungan “melalui kepelbagaian strategik ke dalam hartanah pelaburan,”

Langkah ini bermula dengan pengambilalihan Guan Realty (Private) Limited pada tahun 1972, yang membangunkan City Plaza, pembangunan bercampur pertama CDL.

CDL kemudiannya memasuki pasaran hospitaliti dengan pembelian hotel secara besar-besaran, bermula dengan pemerolehan King’s Hotel (kini Copthorne King’s Hotel Singapore) pada tahun 1980.

Pada tahun 1995, CDL memperoleh Plaza Hotel New York yang ikonik daripada Donald Trump dan membeli rangkaian Copthorne Hotel, menambah lebih banyak hotel di UK, Jerman, dan Perancis.

Abang Kwek Leng Beng, Kwek Leng Joo, menyertai syarikat sebagai pengarah pada tahun 1980 dan membantu mengemudi arah strategiknya. Beliau juga berkhidmat sebagai timbalan pengerusi sehingga meninggal dunia pada tahun 2015.

Sepupu Kwek Leng Beng, Tan Sri Quek Leng Chan, mengendalikan Hong Leong Group di Malaysia.

Tan Sri Quek Leng Chan, Pengerusi Hong Leong Group Malaysia

KRISIS KWEK LENG BENG DAN ANAK SHERMAN KWEK

Kwek Leng Beng, menuduh anaknya sendiri, Sherman Kwek Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat, merancang rampasan kuasa di peringkat lembaga pengarah.

Krisis ini berpunca daripada satu e-mel yang dihantar oleh setiausaha korporat CDL pada malam 28 Januari – iaitu sehari sebelum Tahun Baharu Cina – bagi mencalonkan dua pengarah bebas tambahan ke dalam lembaga syarikat.

Dalam satu kenyataan, Kwek yang berusia 84 tahun berkata bahawa beliau telah cuba memecat anaknya, Sherman Kwek, daripada jawatan CEO pada awal Februari kerana didakwa terlibat dalam “kelemahan serius dalam tadbir urus korporat”. Namun, menurut Leng Beng, Sherman telah mengukuhkan kawalannya ke atas lembaga pengarah syarikat, yang menghalang pemecatan itu daripada berlaku.

Pada hari Selasa, Leng Beng bersama beberapa ahli lembaga lain serta CDL telah memfailkan saman di mahkamah Singapura terhadap Sherman dan enam individu lain. Menurutnya, tindakan ini diambil bagi “membetulkan keadaan”.

“Sebagai seorang bapa, memecat anak sendiri bukanlah keputusan yang mudah. Saya akui bahawa keputusan perniagaan boleh menjadi sukar, dan orang muda mungkin melakukan kesilapan dalam kerjaya mereka, itu boleh difahami. Tetapi, memintas undang-undang tadbir urus korporat adalah satu sempadan yang tidak boleh dilanggar,” katanya dalam kenyataan itu.

Pendedahan pertelingkahan keluarga ini mengejutkan pihak pengurusan CDL pada hari yang sama syarikat itu mengumumkan keputusan tahunan mereka. CDL melaporkan kejatuhan keuntungan tahunan sebanyak 37%, jauh di bawah jangkaan penganalisis. Syarikat itu turut menghentikan dagangan sahamnya sebelum pasaran dibuka dan secara tiba-tiba membatalkan sesi taklimat selepas pengumuman keputusan kewangan.

Antara kelemahan tadbir urus yang didakwa oleh Leng Beng termasuk tindakan Sherman memintas jawatankuasa pencalonan sebanyak dua kali untuk mengubah komposisi lembaga pengarah. Beliau menyatakan bahawa saman tersebut “perlu untuk menangani percubaan rampasan kuasa di peringkat lembaga pengarah dan mengembalikan integriti korporat”.

Sherman, yang berusia 49 tahun tahun ini, telah menjadi CEO CDL sejak Januari 2018. Saham syarikat kini jauh lebih rendah daripada paras tertinggi yang pernah dicapai lebih sedekad lalu. Dalam laporan keputusan kewangan syarikat, Sherman dipetik sebagai berkata bahawa tahun 2024 adalah “tahun yang penuh cabaran besar”.

Sementara itu Sherman pula menyatakan bahawa beliau dan majoriti ahli lembaga CDL kecewa dengan tindakan bapanya, yang disifatkannya sebagai “langkah keterlaluan” semata-mata kerana perbezaan pendapat mengenai saiz dan komposisi lembaga pengarah.

Back To Top