PLUS catat rugi terkumpul RM10.4 bilion, kini Datuk Zakaria COO lobi Tan Sri Vincent Tan Berjaya Group bolot Projek MLFF

Persoalan mengenai pengurusan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) semakin hangat diperkatakan, terutama apabila syarikat ini mencatatkan kerugian selama tiga tahun berturut-turut. Dalam masa yang sama, terdapat dakwaan bahawa Ketua Pegawai Operasi (COO) PLUS, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi, lebih sibuk melobi bagi kepentingan pihak syarikat lain berbanding menjalankan tanggungjawab hakikinya.

Perancangan MLFF: Konflik Kepentingan?

Menerusi perkongsian yang dibuat oleh Ainul Hasri Shah bin Abu Hassan, Ketua Operasi Runcit dan Penyewaan mendedahkan Datuk Zakaria bersama Pengarah Urusan PLUS, Datuk Nik Arina Nik Jaafar, dan Chryseis Tan (anak Vincent Tan) sedang membuka syarikat konsesi sendiri bagi menguruskan sistem Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF) di semua lebuh raya di Malaysia.

PLUS untuk Tan Sri Vincent Tan dan Berjaya Group?

Semua sudah maklum mengenai kelebihan yang diperoleh Tan Sri Vincent Tan, anaknya Chryseis Tan dan keluarga semasa pentadbiran Tun Dr. Mahathir selama 22 bulan. Hari ini Tan Sri Vincent Tan terus cuba memonopoli projek di negara ini selepas dianugerahkan projek 5G kedua U mobile. Kini, COO PLUS dan Pengarah Urusan PLUS dikatakan bekerjasama dengan BERJAYA GROUP untuk menguasai projek MLFF konsesi lebuh raya.

Tambahan pula, individu yang membantah syarikat yang memperoleh konsesi MLFF sekarang ialah Presiden Persatuan Syarikat Konsesi Lebuhraya Malaysia (PSKLM), yang tidak lain adalah Datuk Zakaria sendiri. Beliau sebelum ini adalah individu paling kuat membantah bagi pihak BERJAYA supaya PLUS boleh menubuhkan syarikat sendiri bersama BERJAYA bagi mengambil alih konsesi tersebut. Jika benar, adakah ini tindakan yang wajar dilakukan oleh seorang COO PLUS?

Apa kepentingan Datuk Zakaria dengan Tan Sri Vincent Tan dan anaknya?

Prestasi Kewangan PLUS: Merugikan syarikat kerajaan

Hakikatnya, PLUS syarikat cabang UEM Group Bhd sedang mengalami kerugian yang berterusan. Ramai yang tidak menyedari bahawa kutipan tol yang diterima oleh PLUS hanya mencukupi untuk menampung perbelanjaan operasi, termasuk pembayaran kepada pemegang bon dan kos penyelenggaraan. Ini bermaksud syarikat konsesi lebuh raya terbesar negara ini tidak memperoleh keuntungan daripada kutipan tol, sebaliknya hanya memastikan lebuh raya terus beroperasi.

Kos penyelenggaraan lebuh raya PLUS dianggarkan sekitar RM400 juta hingga RM500 juta setahun. Sebagai perbandingan, pada tahun 2017, kos penyelenggaraan Lebuhraya MEX dilaporkan sebanyak RM18 per meter persegi, manakala kos penyelenggaraan PLUS adalah tiga kali ganda lebih tinggi.

Semakan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia menunjukkan bahawa PLUS mengalami kerugian selama tiga tahun berturut-turut dari tahun kewangan 2021 hingga 2023.

Pada tahun kewangan 2023 (berakhir 31 Disember), PLUS mencatatkan kerugian selepas cukai sebanyak RM148.35 juta dengan pendapatan sebanyak RM3.63 bilion.

Pada tahun kewangan 2022, kerugian selepas cukai adalah sebanyak RM247.31 juta dengan pendapatan sebanyak RM3.36 bilion.

Pada akhir tahun 2023, PLUS mempunyai jumlah aset sebanyak RM28.44 juta, manakala jumlah liabilitinya adalah sebanyak RM38.8 bilion. Syarikat konsesi lebuh raya itu juga mencatatkan kerugian terkumpul sebanyak RM10.41 bilion.

Timbalan Menteri Ahmad Maslan sebelum ini menyatakan bahawa PLUS boleh menubuhkan syarikat MLFF sendiri. Namun tidak bersetuju dengan syarikat lain dan bekerjasama dengan Berjaya Group jelas COO PLUS, sebagai Presiden PSKLM mempunyai kepentingan mempergunakan kedudukannya untuk meraih keuntungan kepada pihak Berjaya!

Sistem Tol: Ketidakselarasan dan Kesesakan

Satu lagi cabaran yang mencerminkan kemampuan PLUS adalah pengurusan sistem tol. Ketika ini, pengguna lebuh raya terpaksa bergantung kepada pelbagai sistem pembayaran seperti Touch ‘n Go, SmartTAG, dan RFID, yang sering kali tidak berintegrasi sepenuhnya. Kelemahan ini semakin terserlah apabila kerajaan mengumumkan rancangan untuk memperkenalkan sistem Multi-Lane Free Flow (MLFF).

Contoh paling ketara adalah di Plaza Tol Sungai Besi, di mana 14 lorong tol di hadapan disempitkan menjadi hanya tiga lorong selepas plaza tol. Ini menyebabkan kesesakan teruk, terutamanya pada waktu puncak. Keadaan ini menimbulkan persoalan: Mengapa PLUS tidak bertindak lebih awal dalam melaksanakan sistem tol yang lebih efisien sebelum kerajaan memperkenalkan MLFF?

PLUS rugi dan tiada wang laksana MLFF

Sekiranya PLUS mahu melaksanakan sistem tol baharu seperti MLFF, persoalan tentang sumber modal timbul. Dengan liabiliti yang tinggi dan kerugian berterusan, sukar untuk membayangkan PLUS mampu membiayai sistem ini tanpa memindahkan kos kepada pengguna. Ini berkemungkinan membawa kepada satu lagi rundingan lanjutan konsesi atau kenaikan kadar tol.

Akhirnya, persoalan utama masih kekal, Apakah kemampuan PLUS untuk menguruskan lebuh raya secara lestari tanpa membebankan pengguna dan memanjangkan lagi konsesi? Selagi struktur kewangan dan kecekapan operasi tidak diperbaiki, PLUS akan terus berhadapan dengan dilema yang sama, dan pengguna lebuh raya akan terus menjadi pihak yang menanggung beban.

Melihat kepada keadaan kewangan PLUS yang meruncing, kemampuan syarikat ini untuk membangunkan sistem MLFF sendiri amat diragui. Jika ia tetap dilaksanakan, kos pembangunan sistem ini mungkin akan dipindahkan kepada pengguna lebuh raya dalam bentuk kenaikan tol atau lanjutan konsesi.

Buktinya PLUS dan anak syarikatnya Teras Teknologi Sdn Bhd gagal laksana sistem RFID di negara ini. Negara menjadi huru hara kerana RFID Teras PLUS! Maknanya PLUS dah ada syarikat sendiri tetapi gagal!.

RFID- Teras Teknologi gagal

Teras Teknologi Sdn Bhd (TERAS) merupakan anak syarikat PLUS Malaysia Berhad (PMB) sebuah syarikat penyedia, pemaju, dan integrator sistem utama Touch ‘n Go dan SmartTAG dalam pelbagai teknologi platform di seluruh negara. Sekalipun TERAS adalah penyedia sistem Kutipan Tol Elektronik namun pelaksanaan teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) oleh TERAS di Plaza Tol PLUS gagal sejak awal pelaksanaannya.

Siapa dalam TERAS? CEOnya adalah Anwar Ishak namun pengurusannya ialah Datuk Nik Airina Nik Jaafar CEO PLUS sebagai Pengerusi dan Datuk Zakaria Ahmad Zabidi COO sebagai BOD dalam TERAS. Mereka lah punca sistem RFID gagal diwajibkan kerana kelemahan sistem RFID.

PLUS mahu mewajibkan penggunaan RFID. Pelaksanaan RFID dimulakan secara berperingkat bermula 15 Januari 2022 namun  mengundang kemarahan pengguna lebuh raya apabila mereka terpaksa berdepan kesesakan teruk di beberapa plaza tol. Justeru, kerajaan dizaman Ismail Sabri terpaksa menangguhkannya dan telah memutuskan pengguna lebuh raya perlu diberi pilihan sama ada mahu menggunakan RFID, Touch N Go (TnG) atau SmartTAG untuk bayaran caj tol.

Media mengupas kegagalan teruk RFID milikk TERAS PLUS

Semakan kewangan TERAS menunjukkan sekalipun pendapatan tahunannya sekitar RM800 juta dan keuntungan selepas cukai sekitar RM11 juta namun tidak dapat menutup kerugian PLUS terkumpul melebihi RM10 bilion.

Oleh kerana kewangan PLUS, TERAS dah tumpul maka Datuk Zakaria Ahmad Zabidi COO PLUS yang juga Presiden Persatuan Syarikat Konsesi Lebuhraya Malaysia (PSKLM) perlu ‘kawtim’ dengan taikun BERJAYA Tan Sri Vincent Tan. Apa perlunya PLUS yang sahamnya dimiliki kerajaan bekerjasama dengan syarikat judi terbesar negara ini?

Tentunya sangat meragukan BERJAYA yang terkenal dalam industri perjudian, juga peruncitan seperti 7-Eleven dan Starbucks terlibat pula dalam menguruskan sistem kutipan tol lebuh raya? Mengapa PLUS memilih untuk berpakat dengan syarikat Vincent? Jika PLUS menggunakan alasan isu rundingan terus dan monopoli bukankah memilih Berjaya Group juga adalah satu monopoli? PLUS sepatutnya telah berjaya menyelesaikan masalah RFID dan kini mahu menyerahkan MLFF kepada Tan Sri Vincent Tan!. Projek U-mobile 5G pun sedang bermasalah lagi mahu merembat projek MLFF!

Back To Top