Sebaran Artikel Berat Sebelah & Berniat Jahat Mengenai YTL
Baru-baru ini tersebar satu tulisan dari Anak Malaysia di media sosial mengenai TS Francis Yeoh dan YTL, satu tulisan yang berat sebelah dan berniat tidak baik.
Kenapa tulisan itu berat sebelah?
Berat sebelah kerana lebih banyak memburukan YTL dengan andaian-andaian umum dan tidak berasas berdasarkan cerita 10 tahun lepas (2014). Ianya sudah dijawab oleh TS Francis Yeoh dalam Malay Mail dalam artikel bertajuk “Clearing some misperceptions of how business is actually conducted in Malaysia and globally”.
Dalam artikel balasan pada 4 Jun 2014 itu, TS Francis menerangkan bahawa beliau bukanlah kroni kepada Tun Dr Mahathir seperti mana persepsi yang cuba dicetuskan oleh beberapa pihak. Menjawab pula mengenai IPP, YTL telah mewujudkan pasaran bon 15 tahun pertama dan mempelopori kategori penyenaraian IPC di Bursa Malaysia.
Dalam Forum Pemandu tersebut juga, TS Francis Yeoh telah menjelaskan bahawa beliau mempertahankan kerajaan yang dipimpin oleh Dato Seri Najib Razak pada masa itu untuk melaksanakan persaingan terbuka dan ketelusan dalam perniagaan.
Dalam artikel itu juga, TS Francis Yeoh mengulangi ketegasan agar Malay Mail memperbetulkan persepsi yang telah ditimbulkan. Malay Mail menyiarkan jawapan balas TS Francis tersebut, hinggalah semalam datang kembali tulisan dari seorang yang mengelarkan dirinya “Anak Malaysia” cuba memainkan semula persepsi 10 tahun yang lepas.
Jelas sekali tulisan “Anak Malaysia” itu berniat jahat?
Mengapa berniat jahat? Jika diimbas kembali ada beberapa serangan yang ditujukan terbuka terhadap YTL sejak penghujung tahun lepas. Ada pihak cuba membangkitkan kembali kisah 1BestariNet hingga menyebabkan saham YTL jatuh pada ketika itu.
Namun kebenaran tetaplah menjadi kebenaran, akhirnya SPRM telah menyucikan semua persepsi yang cuba ditimbulkan itu bila SPRM menyatakan siasatan yang dijalankan sejak September 2024 mendapati tiada sebarang unsur jenayah dalam pelaksanaan tender projek 1BestariNet bernilai RM4 bilion di bawah Kementerian Pendidikan (KPM).
Mengapa ada pihak cuba dengki dan berniat jahat terhadap YTL? Ini kerana YTL sedang membangunkan sesuatu yang luar biasa untuk rakyat Malaysia. YTL dengan kerjasama NVIDIA telah melabur RM20 billion, membangunkan Johor menjadi kuasa besar di Asia dalam bidang pusat data. Laman TheVocket menulis pada 13 Januari 2025, “Kawasan seperti Sedenak Tech Park (STeP) dan Nusajaya Tech Park kini menjadi “hotspot” pembangunan pusat data”
Bukan itu sahaja, YTL juga telah melancarkan Ilmu 0.1 pada 12 Disember 2024, Model Bahasa Besar (LLM) yang dibangunkan untuk rakyat negara ini, dan mengatasi model LLM lain di peringkat global dalam Bahasa Malaysia. Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir melancarkan LLM Bahasa Malaysia ini.
Apa yang dibangunkan oleh YTL ini akan menjadi tonggak utama Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN dan juga mencapai impian Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadikan Malaysia antara 20 negara terbaik di dunia terkait dengan AI.
YTL juga sedang disenarai pendek (berdasarkan merit dan pengalaman dalam bidang pembinaan rel) untuk membangunkan HSR. Ada pihak yang tidak senang hati dan cuba mengelirukan rakyat dengan mendakwa kos pembinaan HSR ini adalah RM150 billion. Sengaja mereka menakut-nakutkan rakyat untuk menyebarkan kebencian pada sesiapa sahaja yang mendapat kontrak HSR ini.
Padahal YTL boleh menyiapkan HSR ini dengan kos yang jauh lebih rendah daripada syarikat-syarikat lain. Inilah yang mereka cemburukan, hingga terpaksa gunakan NGO dan “scammer” untuk memburukkan YTL secara terbuka. Sebab itulah KWSP pun yakin dengan YTL, dan baru mendapatkan pegangan 6 juta saham dalam YTL Corporation.
Agaknya, mengapa persepsi yang 10 tahun lepas itu dilemparkan terhadap YTL sehari dua ini? Apa motif mereka agaknya? Tidak lain tidak bukan hanyalah untuk menyebarkan kebencian dan persepsi jahat terhadap satu lagi benda besar yang YTL sedang lakukan di United Kingdom dan majlis pelancaran Brabazon New Town di Bristol United Kingdom yang akan disempurnakan oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim 15 Januari 2025.
Apa ada dalam Brabazon New Town ini? Akan ada 6,500 rumah dan menyediakan ruang kerja seluas 62 ekar dengan peluang kerja kepada seramai 30,000 orang. Akan ada YTL Arena Bristol, sebuah arena yang boleh menempatkan 19,000 orang untuk mengadakan konsert dan persembahan bertaraf antarabangsa. Ini juga boleh memberi manfaat kepada artis dari Malaysia untuk membuat persembahan di UK selain Royal Albert Hall yang sering menjadi tumpuan artis-artis Malaysia sebelum ini.
Keesokan harinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan bersama dengan sesi Roundtable Meeting bersama pemain pemain utama industri di United Kingdom bertempat di Nine King, Royal Lancaster Hotel, London. Saya bangga sebab negara Malaysia dalam keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu ini, diberikan ruang dan kesempatan oleh mereka-mereka yang mengepalai industri di United Kingdom. Ruang ini diberikan oleh mereka kerana ada syarikat dari Malaysia yang berjaya membuat sesuatu yang hebat dan boleh dibanggakan di United Kingdom.
Inilah sebabnya cerita 10 tahun itu dimomokkan semula dengan beberapa dakwaan bersifat rasis kononya YTL mengenepikan golongan lain dalam industri. Dakwaan ini tidak benar sama sekali kerana surat terbuka yang sengaja ditulis dalam Bahasa Melayu ini bagi menyahut dan menyokong LLM AI Labs Bahasa Melayu YTL.
YTL telah berdiri selama lebih tiga generasi menerusi kerja kuat, pengalaman dan kekuatan jaringan dalam industri. Sepuluh tahun lepas Google pernah memuji YTL secara terbuka dan tidak pelik bila NVIDIA, satu syarikat multinasional berkerjamasa dengan YTL di Malaysia. Jangan terkejut, hanya 5 syarikat di dunia ini yang bekerjasama dengan NVIDIA, salah satunya dalah YTL.
Anak Kota Tinggi, Johor
Queensborough, United Kingdom