TNB Western Energy Bhd (TNB WE), anak syarikat milik penuh tidak langsung Tenaga Nasional Bhd (TNB) melalui TNB Manjung Five Sdn Bhd, memfailkan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Malaysia untuk mencabar taksiran cukai sebanyak RM291.55 juta bagi tahun taksiran 2018.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, TNB berkata notis taksiran daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) bertarikh 10 Disember 2024.
“Pada 31 Disember 2024, TNB WE memfailkan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi untuk mencabar aspek tertentu dalam notis itu,” katanya.
Menurut TNB, pada Khamis lalu, Mahkamah Tinggi memberikan penangguhan sementara terhadap semua prosiding seterusnya, termasuk penguatkuasaan notis itu, sehingga permohonan kebenaran semakan kehakiman selesai sepenuhnya.
Katanyam Mahkamah Tinggi telah menjadualkan pendengaran permohonan kebenaran pada 14 April 2025.
“TNB akan memberikan maklumat terkini mengenai sebarang perkembangan penting berkaitan perkara ini,” katanya.
-BERNAMA