PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menemui wang tunai berjumlah SGD1,529,000 atau RM5 juta di sebuah pangsapuri di Kuala Lumpur malam tadi, dipercayai lokasi menyimpan hasil suapan.
Sumber berkata, operasi 10 malam itu hasil penahanan seorang suspek yang mendedahkan wujud Rumah selamat safe house untuk menyimpan wang rasuah seorang ahli politik berpengaruh.
Menurut sumber, premis berkenaan disewa seorang ahli perniagaan.
Wang ini disimpan untuk kegunaan ahli politik berkenaan bagi aktiviti politiknya. Wang ini telah disita SPRM bagi siasatan lanjut, katanya.
Beliau berkata, wang itu dipercayai diberikan seorang individu yang belum dikenal pasti identitinya dan disimpan ahli perniagaan terbabit atas arahan ahli politik berpengaruh berkenaan
Dalam pada itu, Portal Sinar Harian melaporkan seorang bekas eksekutif kanan Menteri Besar Selangor Incorporated (MBI) adalah antara dua individu yang ditahan oleh SPRM dalam siasatan berkaitan konsesi perlombongan pasir yang diberikan oleh anak syarikat badan pelaburan negeri.
Kedua-dua suspek, yang kedua seorang ahli perniagaan, didakwa mempunyai kaitan dengan seorang pemimpin pembangkang terkenal yang pernah mempunyai pengaruh politik di Selangor.
Laporan itu menyatakan bahawa bekas eksekutif tersebut disyaki menerima rasuah berjuta-juta ringgit daripada sebuah syarikat yang memperoleh konsesi perlombongan pasir beberapa tahun lalu. Ahli perniagaan itu didakwa mengumpulkan wang rasuah bagi pihak bekas eksekutif tersebut.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, mengesahkan penahanan dan siasatan yang sedang dijalankan.