Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM) melaporkan bahawa anggaran awal menunjukkan ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 5.3 peratus pada suku ketiga 2024, susulan pertumbuhan kukuh sebanyak 5.9 peratus pada suku sebelumnya.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, DoSM memaklumkan bahawa Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat sebanyak 5.1 peratus bagi tempoh Januari hingga September 2024, berbanding hanya 3.8 peratus pada tempoh yang sama tahun lalu.
“Pasaran buruh yang stabil, tekanan inflasi yang sederhana, serta dasar fiskal dan monetari yang menyokong, bersama pemulihan berterusan dalam sektor pelancongan, dijangka terus mendorong momentum pertumbuhan ekonomi dalam negara,” kata Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dalam satu kenyataan.
Berdasarkan indikator terkini yang dikeluarkan oleh DoSM, jualan perdagangan borong dan runcit meningkat sebanyak 6.7 peratus pada bulan Julai sebelum berkurangan kepada 4.7 peratus pada Ogos 2024. Indeks Pengeluaran Perindustrian pula meningkat sebanyak 5.3 peratus pada Julai dan 4.1 peratus pada Ogos 2024.
“Di peringkat antarabangsa, perdagangan Malaysia menunjukkan daya tahan, dengan pertumbuhan eksport sebanyak 7.8 peratus dan pertumbuhan import sebanyak 20.8 peratus pada suku ini,” kata Mohd Uzir.
Pertumbuhan ekonomi pada suku ketiga ini didorong oleh sektor perkhidmatan, yang mencatatkan peningkatan sebanyak 5.1 peratus, sedikit menurun daripada 5.9 peratus pada suku kedua 2024. Peningkatan ini disokong oleh sub-sektor perdagangan borong dan runcit, pengangkutan dan penyimpanan, serta perkhidmatan perniagaan.
Sektor pembuatan juga menunjukkan pertumbuhan yang lebih baik, iaitu sebanyak 5.7 peratus, berbanding 4.7 peratus pada suku sebelumnya. Pertumbuhan ini terutama disokong oleh produk elektrik, elektronik, optik, serta produk petroleum, kimia, getah, dan plastik.
Sektor pembinaan meneruskan pertumbuhan yang memberangsangkan dengan peningkatan sebanyak 19.5 peratus, berbanding 17.3 peratus pada suku kedua, dipacu oleh prestasi kukuh dalam semua segmen, khususnya aktiviti pembinaan khusus dan bangunan bukan kediaman.
Bagaimanapun, sektor pertanian mencatatkan pertumbuhan yang lebih perlahan iaitu sebanyak 4.0 peratus, berbanding 7.2 peratus pada suku kedua, disebabkan oleh penurunan dalam sub-sektor kelapa sawit. Sementara itu, sektor perlombongan dan pengkuarian menguncup sebanyak 3.4 peratus, berbanding pertumbuhan 2.7 peratus pada suku sebelumnya, disebabkan oleh penurunan dalam sub-sektor gas asli dan minyak mentah serta kondensat.
Anggaran awal ini akan disusuli oleh laporan KDNK penuh untuk suku ketiga 2024 yang dijadualkan dikeluarkan pada 15 November 2024.
— BERNAMA