Industri perkhidmatan kawalan keselamatan mendakwa berdepan tekanan kewangan yang semakin meruncing susulan keengganan pelanggan korporat utama mereka untuk menyemak semula nilai kontrak sedia ada bagi mengambil kira pelaksanaan kadar gaji minimum baharu yang ditetapkan kerajaan.
Wakil industri mendakwa keadaan itu melibatkan institusi kewangan terbesar negara, Maybank, yang dikatakan masih berpegang kepada terma kontrak asal dan hanya bersedia merundingkan semula kadar bayaran selepas kontrak semasa tamat.
Isu berkenaan timbul selepas kerajaan menaikkan kadar gaji minimum daripada RM1,500 kepada RM1,700 sebulan menerusi Perintah Gaji Minimum yang berkuat kuasa pada Februari 2025. Namun, lebih setahun selepas pelaksanaan dasar tersebut, pemain industri mendakwa kadar bayaran kontrak bagi perkhidmatan kawalan keselamatan di premis milik bank berkenaan masih belum diselaraskan bagi mengambil kira peningkatan kos buruh yang diwajibkan undang-undang.
Menurut mereka, keadaan itu menyebabkan syarikat penyedia perkhidmatan keselamatan terpaksa menanggung sendiri kos tambahan untuk memastikan pekerja menerima gaji minimum yang ditetapkan kerajaan, walaupun bayaran kontrak daripada pelanggan kekal pada kadar lama.
Beberapa pengusaha yang ditemui menyifatkan keadaan tersebut sebagai tidak adil kepada industri yang terpaksa mematuhi undang-undang, sedangkan beban kewangan akibat perubahan dasar kerajaan tidak dikongsi secara munasabah oleh pelanggan korporat yang menerima perkhidmatan mereka.
“Kami wajib membayar pekerja mengikut kadar gaji minimum yang ditetapkan kerajaan. Jika gagal, kami berdepan tindakan penguatkuasaan. Namun pada masa yang sama, terdapat pelanggan yang enggan menyemak semula kontrak untuk menampung peningkatan kos tersebut,” kata seorang pengusaha yang enggan dikenali.
Menurut sumber industri, situasi sama turut berlaku ketika kadar gaji minimum dinaikkan dar RM 1200 kepada RM1,500 sebelum ini, apabila alasan yang diberikan adalah pihak pelanggan perlu kekal terikat kepada kontrak sedia ada sehingga tamat tempoh.
Pemain industri berpandangan bahawa pematuhan terhadap kadar gaji minimum bukan sekadar isu komersial, sebaliknya melibatkan tanggungjawab semua pihak untuk memastikan dasar dan undang-undang yang ditetapkan kerajaan dapat dilaksanakan secara berkesan tanpa menjejaskan kelangsungan operasi syarikat penyedia perkhidmatan.
Pemain industri berpandangan bahawa pematuhan kepada kadar gaji minimum bukan sekadar isu komersial, sebaliknya melibatkan pematuhan terhadap undang-undang semasa yang berkuat kuasa.
Menurut mereka, kegagalan menyelaraskan nilai kontrak dengan kadar gaji minimum terkini boleh memberi kesan kepada kelangsungan syarikat, selain menjejaskan usaha mengekalkan tenaga kerja dalam industri kawalan keselamatan yang sememangnya berdepan cabaran mendapatkan pekerja.
COO MAYBANK TIDAK MAHU MENGIKUT PERINTAH UNDANG- UNDANG
Sumber industri turut memaklumkan bahawa urusan perolehan dan pengurusan kontrak yang berkaitan berada di bawah bidang kuasa operasi yang diketuai oleh Ketua Pegawai Operasi Kumpulan (GCOO), Maybank Alan Lau Chee Kheong.

Menurut sumber berkenaan, Alan Lau kini dilaporkan berada dalam proses persaraan daripada kumpulan perbankan tersebut.
Alan Lau Chee Kheong, seorang ‘Singaporean’ , dilaporkan tidak bersetuju dengan pelaksanaan kadar baharu yang dicadangkan oleh Jabatan Perolehan (Procurement) Maybank. Beliau dikatakan berpandangan bahawa pelaksanaan kadar tersebut tidak diperlukan meskipun syarikat-syarikat kawalan keselamatan berdepan peningkatan kos operasi yang ketara.
Adakah Alan Lau ini cuba mensabotaj inisiatif Kerajaan Madani Hari ini dengan enggan mematuhi Perintah Kerajaan walaupun sesi perbincangan telah dilakukan dengan pemain industri.
Alan Lau bertegas sebarang pelarasan harga hanya boleh dipertimbangkan selepas kontrak semasa tamat atau melalui rundingan semula mengikut peruntukan kontrak yang berkuat kuasa.
SYARIKAT KESELAMATAN RAYU RUNDINGAN SEMULA, TUNTUT BAYARAN TERTUNGGAK
Dalam pada itu, beberapa syarikat kawalan keselamatan merayu agar rundingan semula dapat diadakan antara pihak pelanggan dan penyedia perkhidmatan bagi mencari penyelesaian yang adil kepada semua pihak.
Mereka turut menggesa supaya pelarasan kadar bayaran kontrak dibuat secara backdated bermula dari tarikh kuat kuasa pelaksanaan gaji minimum RM1,700, memandangkan syarikat penyedia perkhidmatan telah terlebih dahulu menanggung peningkatan kos bagi mematuhi keperluan undang-undang.
Menurut pemain industri, kegagalan menyelaraskan kadar kontrak dengan perubahan dasar gaji minimum telah menyebabkan tekanan kewangan yang ketara kepada syarikat-syarikat keselamatan, khususnya yang mempunyai jumlah pengawal yang besar di premis pelanggan korporat.
Susulan itu, beberapa syarikat difahamkan sedang menilai pelbagai pilihan yang ada, termasuk mendapatkan nasihat perundangan dan mempertimbangkan semakan undang-undang terhadap kontrak yang didakwa tidak mengambil kira perubahan mandatori yang diperkenalkan kerajaan melalui Perintah Gaji Minimum.
Mereka bagaimanapun berharap penyelesaian dapat dicapai menerusi rundingan sebelum sebarang tindakan lanjut diambil.
