KUALA LUMPUR, 20 Jan — Persatuan Sahabat Industri Malaysia (PSIM) menyuarakan bantahan tegas terhadap cadangan pengambilalihan IJM Corporation Berhad oleh Sunway Berhad, sambil memberi amaran bahawa urus niaga tersebut berpotensi mengancam keselamatan aset strategik negara serta kedaulatan ekonomi jangka panjang.
Dalam satu kenyataan media hari ini, PSIM menegaskan bahawa isu penggabungan itu tidak boleh dilihat semata-mata sebagai transaksi korporat di Bursa Malaysia, sebaliknya merupakan titik perubahan strategik yang bakal menentukan hala tuju struktur industri, mandat pembangunan negara dan masa depan ekonomi yang akan diwarisi generasi muda
Presidennya, Mohd Fariq Azwan Rahmat berkata, naratif kecekapan dan konsolidasi korporat tidak wajar dijadikan justifikasi untuk menggadaikan kepentingan awam serta melemahkan peranan IJM sebagai entiti pembangunan bermandat negara.
“Penggabungan ini berisiko mengubah orientasi IJM daripada keseimbangan antara keuntungan dan kepentingan nasional kepada logik keuntungan mutlak, sekali gus mengorbankan projek berimpak sosial tinggi, khususnya di kawasan luar bandar dan komuniti marginal,” katanya
Menurut PSIM, pendekatan korporat tulen yang berorientasikan pulangan kewangan semata-mata juga berpotensi menjejaskan agenda perumahan mampu milik untuk golongan B40 dan M40, seterusnya memburukkan lagi krisis pemilikan rumah dalam kalangan generasi muda.
Risiko Monopoli dan Penutupan Pasaran
PSIM turut membangkitkan kebimbangan dari sudut struktur industri, apabila penggabungan IJM–Sunway dikatakan boleh mewujudkan integrasi vertikal yang melampau, melibatkan penguasaan keseluruhan rantaian nilai — daripada bahan mentah seperti kuari dan premix, sehinggalah konsesi lebuh raya serta infrastruktur strategik negara.
Keadaan ini, menurut persatuan itu, berisiko mencetuskan fenomena market foreclosure yang akan menekan serta melumpuhkan kontraktor kecil dan sederhana, khususnya pemain G1 hingga G4, sekali gus menyekat persaingan sihat dan inovasi dalam industri pembinaan tempatan
Aset Negara Tidak Wajar Dilupuskan
PSIM juga mempersoalkan struktur pertukaran saham yang dicadangkan, yang didakwa membuka ruang kepada pelupusan tersirat aset strategik negara seperti Pelabuhan Kuantan dan rangkaian lebuh raya utama, sebagai balasan kepada pegangan saham korporat swasta.
Menurut kenyataan itu, langkah sedemikian berpotensi menghakis kuasa kawalan institusi awam termasuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Kumpulan Wang Persaraan (KWAP), selain bercanggah dengan prinsip amanah nasional
Desakan Tindakan Kerajaan dan MyCC
Sehubungan itu, PSIM menggesa Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) menjalankan siasatan menyeluruh di bawah Akta Persaingan 2010, khususnya berkaitan risiko monopoli dan penyalahgunaan dominasi pasaran.
Persatuan itu juga menuntut penjelasan terbuka daripada kepimpinan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) mengenai rasional strategik cadangan penggabungan tersebut, yang didakwa bercanggah dengan agenda pemerkasaan ekonomi Bumiputera dan kepentingan dana awam jangka panjang
“Ini isu negara, bukan sekadar urus niaga. Kami membina negara ini, kami akan mewarisinya, dan kami tidak akan berdiam diri apabila masa depan kami diperdagangkan,” tegas PSIM.
