KUALA LUMPUR — Cadangan pengambilalihan IJM Corporation Berhad oleh Sunway Berhad terus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pemerhati pasaran dan badan perniagaan Melayu, apabila Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (PERDASAMA) secara rasmi menyatakan pendirian menolak cadangan transaksi tersebut atas alasan ia berpotensi menjejaskan ekuiti Bumiputera serta dana awam yang diamanahkan kepada institusi pelaburan milik rakyat
Menurut PERDASAMA, cadangan pengambilalihan dan pertukaran saham bernilai kira-kira RM11 bilion itu tidak boleh dilihat sebagai urus niaga korporat biasa, memandangkan IJM merupakan pemilik kepada aset strategik negara serta dimiliki secara signifikan oleh institusi seperti KWSP, PNB/ASB, KWAP dan Tabung Haji, yang mewakili kepentingan jutaan pencarum .
Struktur Tawaran: Ketidakseimbangan Nilai
Di bawah struktur yang diumumkan, Sunway menawarkan 10% bayaran tunai (RM0.315 sesaham IJM) dan 90% bayaran melalui penerbitan saham baharu Sunway pada harga RM5.65 sesaham. PERDASAMA berpandangan struktur ini meletakkan pemegang saham IJM pada kedudukan yang tidak seimbang, memandangkan sebahagian besar bayaran dibuat menggunakan saham Sunway yang kini diniagakan pada penilaian pasaran yang tinggi berbanding nilai asetnya
Dari sudut penilaian, IJM ketika ini diniagakan sekitar RM2.80, hampir kepada Nilai Aset Ketara (NTA) ±RM2.91, manakala Sunway diniagakan sekitar RM5.63 dengan NTA ±RM2.34, bersamaan lebih 2.4 kali ganda NTA. Keadaan ini mencetuskan persoalan sama ada transaksi tersebut secara asasnya melibatkan pemindahan nilai daripada pemegang saham IJM kepada Sunway, bukannya penciptaan nilai bersama

Implikasi kepada Pemegang Saham dan GLIC
Sekiranya transaksi diteruskan, penerbitan kira-kira 1.76 bilion saham baharu Sunway akan meningkatkan jumlah saham Sunway kepada sekitar 8.57 bilion unit, dengan pemegang saham IJM hanya menguasai lebih kurang 20.5% dalam entiti gabungan. PERDASAMA memberi amaran bahawa struktur ini mendedahkan dana GLIC kepada risiko pasaran, khususnya jika penilaian saham Sunway menyusut ke paras yang lebih hampir kepada nilai asasnya
Dalam senario sedemikian, sebarang pembetulan harga akan memberi kesan langsung kepada nilai pegangan institusi pelaburan awam, sekali gus menjejaskan kepentingan pencarum dan pemegang unit amanah.
Desakan Tegas Kepada Kerajaan
Sehubungan itu, PERDASAMA mendesak Perdana Menteri campur tangan secara langsung bagi menghalang apa yang disifatkan sebagai kesilapan dasar besar dan bersejarah. Antara tuntutan utama termasuk penggantungan serta-merta proses transaksi, siasatan penuh oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan Bursa Malaysia terhadap pergerakan serta penilaian saham Sunway, dan pendirian tegas GLIC untuk tidak menyokong transaksi sehingga penilaian bebas, telus dan adil dilaksanakan .

Presiden PERDASAMA, Mohd Azamanizam Baharon, menegaskan isu ini bukan soal teknikal pasaran semata-mata, tetapi soal maruah ekonomi negara — sama ada Malaysia mahu mengekalkan aset strategik atau menukarnya dengan saham yang nilainya boleh merosot pada bila-bila masa
PERDASAMA turut menggesa GLIC mengambil pendirian berhati-hati dan tidak menyokong transaksi tersebut sehingga penilaian bebas dan telus dapat dilaksanakan, atau sekurang-kurangnya sehingga satu tawaran yang benar-benar mencerminkan nilai intrinsik IJM dikemukakan.
Dalam konteks pasaran modal Malaysia, cadangan Sunway–IJM ini dilihat sebagai ujian penting terhadap tadbir urus korporat, perlindungan kepentingan pemegang saham minoriti, serta peranan GLIC sebagai penjaga amanah dana rakyat. Seperti yang ditekankan PERDASAMA, persoalan utamanya bukan sekadar sama ada transaksi ini sah dari sudut peraturan, tetapi sama ada ia adil, seimbang dan mampan untuk jangka panjang ekonomi negara
