Bercanggah Pendapat Dengan Pihak Atasan Antara Sebab KP JKOM Ditamatkan Kontrak ?

PUTRAJAYA: Selepas 6 bulan Dr. Mohd. Khairuddin Othman dilantik sebagai Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), akhinya hari ini beliau  telah ditamatkan jawatan berkuatkuasa serta merta.

Dr Mohd Khairuddin mengesahkan kepada media bahawa beliau telah ditamatkan jawatan. Mohd. Khairuddin dilantik sebagai Ketua Pengarah J-KOM pada 1 Mac lalu menggantikan Datuk Dr. Mohammad Agus Yusoff yang meletak jawatan pada November 2023.

Menurut sumber, Dr Mohd Khairuddin ditamatkan perkhidmatan kerana pelbagai isu yang timbul sekarang ini di JKOM. Paling ketara menurut sumber terbabit adalah Ketua Pengarah JKOM tidak melapor terus kepada pihak atasan dalam setiap gerak kerja Pilihan Raya Kecil yang diadakan.

Pernah timbul kontroversi dalam PRK di DUN Kuala Kubu bila bocornya arahan daripada JKOM kepada seluruh staffnya untuk berkhidmat di sana. Isu ini adalah titik awal kelemahan Dr Mohd Khairuddin sebagai Ketua Pengarah apabila dilihat gagal merahsiakan perkara yang sepatutnya daripada pengetahuan umum.

Juga pernah timbul kontroversi di saluran media sosial ketika PRK Sungai Bakap apabila laporan isu yang disediakan oleh JKOM bocor dan menjadi tatapan umum di saluran Whatsapp. Ini antara lain menunjukkan kepimpinan JKOM tidak kompeten dan tidak berhati-hati dalam menguruskan operasi.

Paling ketara menurut sumber itu adalah perselisihan tentang soal kewangan antara Ketua Pengarah JKOM dengan pihak atasan. Peruntukan yang sedia ada di JKOM majoritinya adalah untuk emolumen dan program. Ianya sangat terhad jika melibatkan program yang di luar jangka menurut sumber terbabit.

Selain itu, menurut sumber terbabit KP JKOM juga kurang mahir dalam aspek pengurusan staff. Ada staff yang berjawatan rendah diberikan peranan yang tinggi dan merendahkan pula staff berjawatan yang sedia ada. Ini menimbulkan konflik dalaman di Jabatan. Paling menyedihkan bila ada staff yang hendak ditamatkan kontrak dengan alasan yang kurang kukuh dan memuaskan.

JKOM adalah sebuah Jabatan yang kini diletakan di bawah Kementerian Komunikasi dan perlu melapor terus kepada Menteri Komunikasi. Ketika zaman Dr Agus, JKOM berada di Jabatan Perdana Menteri tetapi telah distruktur semula selepas isu yang melanda Ketua Pengarah sebelum ini.

JKOM adalah nama baharu bagi Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) yang dahulunya dimansuhkan pada Oktober 2018. Namun JKOM kini berbeza kerana strukturnya tidak lagi seperti JASA yang dahulu kerana pegawainya terdiri daripada tiga lapisan iaitu staff kontrak, staff daripada Jabatan Penerangan dan staff daripada Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD).

JKOM yang tidak lagi berfungsi di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen seperti JASA yang dahulu. JKOM hanya mempunyai seorang wakil di setiap Daerah dan tidak mempunyai pejabat negeri seperti mana JASA dahulu. Selain, di setiap negeri tidak mempunyai Pengarah Negeri dan hanya bergantung kepada Pengarah Zon semata-semata. Ini antara kelemahan yang ketara disebabkan isu berbeza-beza ikut negeri.

Sumber itu menyatakan persepi masyarakat masih lagi tinggi terhadap JKOM untuk membantu di peringkat bawah tetapi keterbatasan daripada segi kewangan dan staff merencatkan perancangan itu. JKOM sukar berfungsi seperti JASA yang dahulu menurut sumber itu lagi. Jika mahu JKOM menjuarai kembali persepsi rakyat, perlu diperkasakan seperti mana JASA yang dahulu menurutnya lagi.

Back To Top