Vincent Tan Bina Kediaman Di Greenland

Boleh jadi kediaman ini sesuai untuk dijadikan kem latihan pasukan Cardiff City yang berada di Wales. Suasana sejuk dan dingin di Greenland amat sesuai buat pemain pemain Cardiff City menikmati avocado bagi merangka strategi seterusnya untuk kembali ke Premier League.

Berjaya Greenland Invest A/S, anak syarikat milik penuh Berjaya Land Bhd (BLand) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan SIBS Sdn Bhd untuk membina kediaman yang cekap dan berdaya tahan iklim melalui perumahan modular di Greenland.

SIBS, syarikat yang berpangkalan di Sweden yang memiliki kemudahan pembuatan di Pulau Pinang, merupakan peneraju global dalam sistem perumahan modular.

Dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini, BLand berkata kerjasama itu bertujuan untuk membina rumah yang cekap dan berdaya tahan iklim melalui pembinaan modular — satu pendekatan moden yang membolehkan pelaksanaan yang lebih pantas, penjimatan kos dan kualiti yang tahan lama.

Kumpulan itu berkata, inisiatif perumahan berkenaan kini berada dalam fasa perancangan dan reka bentuk, dengan pelancarannya dijangka tidak lama lagi.

“Selain menambah baik akses kepada perumahan, projek ini dijangka menjana manfaat ekonomi yang bermakna – termasuk mencipta pekerjaan, penglibatan kontraktor tempatan dan pertumbuhan bandar secara jangka panjang,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Syed Ali Shahul Hameed, berkata projek ini mencerminkan visi lebih luas BLand dalam mewujudkan pembangunan berkualiti tinggi yang cekap, mudah disesuaikan dan dibina dengan mengambil kira impak jangka panjang.

“Pembinaan modular menawarkan pendekatan yang bijak dan tepat pada masanya, membolehkan kami membina rumah dengan lebih cepat dan kos efektif sambil menyokong pembangunan kapasiti tempatan.

“Fokus kami kekal untuk membangunkan ruang yang bukan sahaja memenuhi keperluan pada hari ini, tetapi juga meletakkan asas untuk komuniti yang berdaya tahan dan saling terhubung pada masa hadapan,” tambahnya.

BLand juga sedang bekerjasama rapat dengan Perbandaran Nuuk di Greenland untuk meneroka fasa pembangunan yang seterusnya, termasuk tetapi tidak terhad kepada pembinaan hotel dan hotel kediaman bagi menyokong sektor pelancongan Greenland yang semakin berkembang.

Kumpulan itu menambah bahawa pelaburan dalam sektor hospitaliti ini bertujuan untuk memenuhi permintaan berkenaan sambil mengekalkan komitmen yang kukuh terhadap kemampanan budaya dan alam sekitar.

Nuuk dijangka bersedia menjadi destinasi utama di Artik susulan perasmian lapangan terbang antarabangsa yang baharu di bandar itu pada November 2024.

Back To Top