Jetstar Asia Henti Operasi, MAVCOM Gesa Pengguna Tuntut Hak Mereka

Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) menggesa pengguna yang terjejas susulan pemberhentian operasi Jetstar Asia Airways (Jetstar Asia) supaya segera menuntut hak mereka sama ada dalam bentuk bayaran balik penuh atau perubahan laluan penerbangan.

Nasihat itu dikeluarkan selepas Jetstar Group mengumumkan pada 11 Jun lalu bahawa subsidiarinya yang berpangkalan di Singapura, Jetstar Asia (dengan kod penerbangan 3K), akan menamatkan operasinya secara rasmi berkuat kuasa 31 Julai 2025.

Pengerusi Eksekutif MAVCOM, Datuk Seri Saripuddin Kasim, berkata pengguna yang telah membuat tempahan bagi penerbangan dari Singapura ke Kuala Lumpur dan Pulau Pinang yang dikendalikan oleh Jetstar Asia dinasihatkan untuk bertindak pantas.

“MAVCOM memandang serius perlindungan hak pengguna. Selaras dengan Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016 (MACPC), mereka yang terjejas berhak menerima bayaran balik kos tiket sepenuhnya dalam tempoh 30 hari, atau ditawarkan perubahan laluan ke destinasi akhir dengan keadaan pengangkutan setanding,” katanya dalam satu kenyataan baru baru ini.

Menurut MAVCOM, langkah pertama bagi penumpang terjejas adalah menghubungi Jetstar Asia secara langsung melalui perkhidmatan ‘Live Chat’ di laman web rasminya atau pusat hubungan global syarikat itu untuk mendapatkan bantuan.

Pihak syarikat penerbangan juga akan memaklumkan pelanggan secara langsung mengenai sebarang perubahan pada jadual penerbangan sebelum tarikh penamatan operasi.

“Pengguna dinasihatkan untuk sentiasa memantau e-mel dan status tempahan mereka. Pemberhentian operasi ini bagaimanapun tidak menjejaskan penerbangan Jetstar Airways (JQ) dan Jetstar Japan (GK),” jelas kenyataan itu.

Sekiranya pengguna tidak menerima pilihan yang sewajarnya daripada syarikat penerbangan atau memerlukan bantuan lanjut, mereka boleh membuat aduan rasmi kepada MAVCOM.

Aduan boleh disalurkan melalui talian pengguna 1800-18-6966, e-mel ke [email protected], borang aduan di laman web FlySmart, atau aplikasi mudah alih FlySmart.

MAVCOM menegaskan komitmennya untuk terus melindungi hak pengguna pengangkutan udara dan akan memberikan bantuan yang diperlukan kepada mereka yang terkesan.

Back To Top