Microsoft Bertekad Jadikan Malaysia Hub AI Di Rantau Ini – Scott Guthrie

Microsoft menegaskan komitmennya menjadikan Malaysia sebagai hab utama kecerdasan buatan (AI) di rantau ini, sekali gus memperkukuh aspirasi negara sebagai peneraju ekonomi digital serantau.

Naib Presiden Eksekutif Awan & AI Microsoft, Scott Guthrie, berkata langkah itu direalisasikan menerusi pelbagai pelaburan strategik, termasuk penubuhan Rantau Awan Malaysia West dan pelancaran inisiatif BINA AI Malaysia yang menyeluruh serta bersifat inklusif.

“Microsoft komited menyokong transformasi digital Malaysia dengan menyediakan infrastruktur bertaraf dunia dan memperluas akses kepada teknologi serta kemahiran berkaitan AI,” katanya pada program Jelajah AI Microsoft Kuala Lumpur yang berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini, hari ini.

Menurut beliau, inisiatif BINA AI Malaysia adalah sebahagian daripada usaha bersepadu Microsoft untuk mempercepatkan penggunaan AI dalam menyelesaikan cabaran masyarakat serta membangunkan bakat tempatan yang bersedia untuk masa depan.

Antara tumpuan utama inisiatif itu termasuk usaha meneruskan penubuhan Pusat Inovasi AI Negara Microsoft, yang dijangka memainkan peranan penting dalam menggerakkan strategi AI negara dan memupuk kolaborasi pelbagai pihak.

Untuk merealisasikannya, Microsoft bekerjasama rapat dengan EY Malaysia, Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan (NAIO) di bawah Kementerian Digital, serta Pusat Kepimpinan PETRONAS bagi mewujudkan pusat inovasi yang akan berfungsi sebagai hab strategik bagi pembangunan penyelesaian sebenar berasaskan AI.

Langkah itu susulan pengumuman pelaburan AS$2.2 bilion (kira-kira RM10.4 bilion) oleh Microsoft pada tahun ini, sekali gus menjadi antara pelaburan digital terbesar syarikat itu di Malaysia.

Lebih penting, Guthrie berkata, Rantau Awan Malaysia West kini sudah sedia beroperasi dan menjadi mercu jaya dalam komitmen syarikat untuk memperkasakan transformasi digital serta AI secara terangkum.

“Malaysia West menyediakan infrastruktur bertaraf dunia yang membolehkan organisasi tempatan memanfaatkan inovasi berasaskan AI dan awan dengan lebih pantas dan selamat, menjadikan masa depan digital lebih lestari dan terangkum,” katanya.

Beliau memaklumkan, antara organisasi yang sudah memanfaatkan Rantau Awan Malaysia West adalah PETRONAS, yang juga berperanan sebagai rakan utama Microsoft bagi inisiatif ini.

Berdasarkan unjuran syarikat penyelidikan IDC, rantau awan baharu itu dijangka menyumbang manfaat ekonomi dan sosial kepada Malaysia, dengan jangkaan hasil baharu berjumlah AS$10.9 bilion dalam tempoh empat tahun.

Daripada jumlah itu, sekitar 16.9 peratus dijangka terhasil secara langsung daripada operasi Rantau Awan Malaysia West. Ia juga dijangka mewujudkan 37,000 pekerjaan baharu, termasuk 6,000 dalam bidang teknologi maklumat (IT).

Rantau Awan Malaysia West yang terletak di Greater Kuala Lumpur akan berfungsi sebagai infrastruktur awan hiperskala dengan tiga zon ketersediaan serta kemudahan penempatan data dalam negara, keselamatan tinggi dan kadar kependaman rendah.

Ia juga menawarkan akses kepada pelbagai perkhidmatan terkini termasuk Microsoft Azure, Microsoft 365 dan rangkaian aplikasi perniagaan lain yang akan diperkenalkan tidak lama lagi.

Sementara itu, Pengarah Urusan Microsoft Malaysia, Laurence Si, berkata pihaknya kekal komited memperkasa bakat digital negara sejajar dengan pertumbuhan ekonomi AI.

Beliau berkata, inisiatif AIForMYFuture yang diperkenalkan bersama NAIO pada Disember 2024 menyasarkan untuk melengkapkan 800,000 rakyat Malaysia dengan kemahiran berkaitan AI menjelang akhir 2025.

“Setakat ini, kami sudah memahirkan 400,000 individu termasuk kakitangan sektor kerajaan, syarikat besar dan kecil, syarikat pemula, pelajar, golongan memerlukan dan pekerja am.

“Dengan kehadiran Rantau Awan Malaysia West, kami teruja melihat potensi besar bagi mempercepatkan transformasi digital pelanggan kami merentasi sektor awam dan swasta,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa selain membina infrastruktur, Microsoft juga komited menyebar luas kemahiran digital dan AI kepada seluruh rakyat Malaysia, selari dengan visi menjadikan negara sebagai peneraju digital serantau.

Back To Top