Malaysia terus memperkukuh kedudukannya di pentas antarabangsa apabila agensi penarafan global, Moody’s Ratings mengekalkan penarafan kredit berdaulat negara pada tahap ‘A3’ dengan tinjauan stabil.
Penarafan ini membuktikan komitmen Kerajaan MADANI dalam melaksanakan pembaharuan ekonomi dan fiskal, meskipun berdepan cabaran ketidaktentuan ekonomi global dan geopolitik.
Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyifatkan pengiktirafan itu sebagai pencapaian besar hasil usaha gigih kerajaan.
“Pengesahan penarafan ini mencerminkan hala tuju dasar yang jelas serta komitmen kerajaan kepada piawaian tadbir urus yang tinggi. Kami terus komited memacu pertumbuhan ekonomi serantau untuk manfaat semua rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.
Fokus Pada Belanjawan 2025 dan Pelaburan Berkualiti
Menurut Anwar, kerajaan akan memberi penekanan kepada pelaksanaan pembaharuan seperti yang digariskan dalam Belanjawan 2025, termasuk menarik pelaburan berkualiti tinggi bagi mencipta pekerjaan bergaji lumayan. Pada masa sama, pembangunan infrastruktur bersepadu akan dipercepatkan untuk menyokong kepelbagaian ekonomi dan membuka peluang baharu.
Beliau turut menegaskan, Malaysia akan menggunakan peluang selaku Pengerusi ASEAN 2025 untuk memimpin blok ekonomi ini ke arah ketertiban ekonomi serantau yang lebih mampan dan saling menguntungkan.
Ekonomi Paling Pesat Berkembang di Kalangan Negara Berpenarafan A3
Moody’s turut mengakui Malaysia sebagai ekonomi paling pesat berkembang dalam kalangan negara berpenarafan A3, dengan prospek pertumbuhan jangka sederhana yang kukuh. Kekuatan struktur kredit negara, seperti kepelbagaian ekonomi, daya saing, dan kestabilan harga, menjadi faktor utama yang menyokong perbelanjaan domestik dan pertumbuhan ekonomi.
Selain itu, pasaran modal domestik yang kukuh serta sistem kewangan sofistikated terus menjadi aset penting kepada ekonomi negara. Agensi penarafan itu juga memuji usaha kerajaan dalam melaksanakan pembaharuan struktur, termasuk penggubalan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023.
Pertumbuhan Ekonomi dan Penurunan Defisit
Anggaran awal Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku keempat 2024 mencatatkan pertumbuhan 4.8%, sekali gus meletakkan Malaysia pada landasan untuk mencapai sasaran antara 4.8% hingga 5.3% bagi keseluruhan tahun. Kerajaan optimis bahawa pertumbuhan ekonomi pada 2025 akan kekal teguh dengan unjuran antara 4.5 peratus hingga 5.5 peratus.
Dalam usaha mengukuhkan kedudukan fiskal, kerajaan merancang menurunkan defisit fiskal daripada 4.3 peratus pada 2024 kepada 3.8 peratus pada 2025, seiring dengan sasaran Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023.
Pengiktirafan Moody’s terhadap kestabilan ekonomi Malaysia memberi isyarat positif kepada pelabur antarabangsa, sekali gus memperkukuh kedudukan negara sebagai destinasi pelaburan pilihan di rantau ini.