U Mobile Metrai MOU Dengan CIMB, Luaskan Rangkaian 5G

U Mobile
CIMB

KUALA LUMPUR: U Mobile memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan CIMB Bank Bhd (CIMB) untuk memperluaskan sokongan pembiayaan bagi pelaksanaan rangkaian 5G yang akan datang.

MoU itu berikutan pelantikan U Mobile baru-baru ini sebagai penyedia rangkaian 5G kedua negara.

Ketua Pegawai Eksekutif U Mobile, Wong Heang Tuck, berkata U Mobile berbesar hati untuk menjalinkan kerjasama strategik bersama CIMB bagi pelaksanaan rangkaian 5G syarikat telekomunikasi itu.

“CIMB adalah rakan pembiayaan jangka panjang kami dan kami berkongsi komitmen untuk memacu inovasi serta pertumbuhan dalam ekonomi negara melalui 5G, selaras dengan matlamat kerajaan untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi dengan memberi penekanan kepada pendigitalan.

“Kami percaya sokongan kewangan CIMB akan memperkukuh kemampuan U Mobile dalam memastikan pelaksanaan rangkaian 5G kedua yang pantas dan kos efektif serta akan memberikan manfaat kepada perusahaan, pengguna dan sektor awam,” katanya dalam satu kenyataan selepas majlis memeterai kerjasama pembiayaan itu.

Turut hadir, Ketua Pegawai Kewangan U Mobile, Sandy Tsang dan Ketua Liputan Korporat Malaysia, Perbankan Borong Kumpulan CIMB, Denise Wong.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbankan Borong Kumpulan CIMB, Chu Kok Wei, berkata selaras dengan matlamat bersama untuk membina negara, CIMB berbesar hati menyokong usaha U Mobile bagi menghubungkan rakyat Malaysia dan merangsang inovasi digital melalui kuasa 5G.

“CIMB juga bersedia menawarkan rangkaian produk dan perkhidmatan menyeluruh selain pembiayaan, termasuk dalam bidang perbankan pelaburan dan perbendaharaan, yang akan mencetuskan inovasi serta mempercepatkan pertumbuhan U Mobile dan Malaysia,” katanya.

MoU itu menandakan kerjasama pembiayaan terkini antara U Mobile dan CIMB.

Pada 2021, CIMB terlibat dalam kemudahan RM1.2 bilion kepada U Mobile, yang kemudiannya dinaikkan kepada RM1.4 bilion pada 2023.

Back To Top