“Fitnah RM10 Juta?” — Ramanan nafikan, cabar Victor Chin dedah ‘Mr R’ sebenar

Naib Presiden PKR, Datuk Seri R. Ramanan tampil menolak keras dakwaan yang mengaitkan beliau dengan tuduhan serius melibatkan ahli perniagaan Victor Chin, sambil menyifatkan cubaan tersebut sebagai tidak bertanggungjawab dan berniat jahat.

Ahli Parlimen Sungai Buloh itu menegaskan beliau langsung tidak mempunyai sebarang hubungan dengan individu terbabit, apatah lagi terlibat dalam sebarang urusan kewangan seperti yang didakwa.

“Saya tidak pernah bertemu, tidak kenal, dan tidak pernah bercakap dengan beliau. Jadi bagaimana saya boleh dikaitkan menerima jutaan ringgit?” katanya dalam satu sidang media.

Ramanan turut mempersoalkan logik dakwaan tersebut, sambil menegaskan bahawa beliau tidak memiliki sebarang pegangan saham awam seperti yang cuba digambarkan.

“Saya tidak pegang satu pun saham awam — sifar. Jadi dakwaan kononnya saham dipindahkan kepada saya itu tidak masuk akal sama sekali,” tegasnya.

Dalam masa sama, beliau mencabar Victor Chin supaya tampil secara terbuka mendedahkan identiti individu misteri yang dirujuk sebagai ‘Mr R’, yang didakwa terlibat sebagai orang tengah dalam sindiket korporat berkenaan.

“Hanya beliau boleh jelaskan siapa ‘Mr R’. Jangan baling bayang dan cuba kaitkan saya tanpa bukti,” katanya.

Kontroversi itu tercetus susulan dokumen setebal 40 muka surat yang didedahkan sebelum ini, yang mendakwa seorang Ahli Parlimen PKR meminta bayaran sehingga RM10 juta bagi menyelesaikan isu berkaitan sindiket pengambilalihan syarikat.

Turut didakwa wujud peranan seorang individu dikenali sebagai ‘Mr R’ yang dikatakan bertindak bersama kumpulan tersebut untuk menguasai NexG Bhd melalui tekanan dan sekatan terhadap pemegang saham.

Bagaimanapun, Ramanan menyifatkan dakwaan itu sebagai naratif yang berubah-ubah dan tidak konsisten.

“Hari ini kata polis buru dia, esok kata Bank Negara, kemudian kaitkan pula Ahli Parlimen PKR. Cerita sentiasa berubah,” katanya.

Susulan itu, beliau mengarahkan kepimpinan PKR di kawasannya membuat laporan polis bagi melindungi reputasi serta mengekang penyebaran fitnah.

Menurutnya, tindakan tegas perlu diambil bagi menghalang sebarang usaha mencemarkan imej parti serta menggugat kestabilan dalaman PKR.

“Sebagai pimpinan parti, saya tidak akan berdiam diri jika ada pihak cuba memecah-belahkan parti melalui dakwaan liar,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau turut mengkritik bekas Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, yang didakwa memperbesarkan isu tersebut tanpa asas kukuh.

“Kalau benar ada nama, nyatakan. Jangan main tuduh tanpa bukti,” katanya.

Back To Top