Isu Penilaian Aset dan Risiko Pencairan Ekuiti Bumiputera Jadi Tumpuan
KUALA LUMPUR — Cadangan pengambilalihan IJM Corporation Berhad oleh Sunway Berhad terus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pemerhati pasaran, apabila Dewan Perniagaan Melayu Malaysia – Dewan Muda (DPMM Dewan Muda) menegaskan bahawa urus niaga tersebut tidak wajar dianggap sebagai transaksi korporat biasa, sebaliknya melibatkan kepentingan strategik negara
Menurut DPMM Dewan Muda, IJM merupakan pemilik aset infrastruktur strategik negara yang merangkumi konsesi jangka panjang dan aset fizikal utama, dengan struktur pemegang saham yang didominasi oleh institusi amanah rakyat seperti KWSP, PNB, KWAP dan Tabung Haji. Sebarang perubahan pemilikan atau kawalan ke atas IJM, menurut pertubuhan itu, mempunyai implikasi langsung terhadap kedaulatan ekonomi, keselamatan aset strategik serta masa depan pegangan ekuiti Bumiputera
Isu Teras: Pertukaran Aset Dengan Saham
Kebimbangan utama DPMM Dewan Muda tertumpu kepada struktur cadangan pengambilalihan, yang didakwa tidak melibatkan pembelian tunai sepenuhnya, sebaliknya menggunakan penerbitan saham Sunway sebagai medium pembayaran. Dalam konteks kewangan korporat, pertubuhan itu menekankan bahawa harga saham pasaran bukan ukuran sebenar nilai syarikat, khususnya bagi entiti berasaskan aset seperti IJM.
Sebaliknya, penilaian seharusnya dibuat berdasarkan Nilai Aset Bersih Ketara (NTA) atau RNAV, iaitu ukuran nilai sebenar aset selepas ditolak liabiliti. DPMM Dewan Muda mempersoalkan sama ada urus niaga ini secara praktikalnya menukar aset infrastruktur sebenar negara dengan instrumen pasaran yang nilainya terdedah kepada turun naik sentimen pelabur
Risiko Kepada Dana Awam dan Institusi Amanah
DPMM Dewan Muda turut memberi amaran bahawa jika pengambilalihan ini diteruskan, institusi seperti KWSP, PNB, KWAP dan Tabung Haji akan menukar pegangan langsung mereka dalam IJM kepada pegangan saham Sunway, sekali gus menjadikan nilai pelaburan mereka bergantung sepenuhnya kepada prestasi pasaran saham Sunway.
“Jika saham Sunway mengalami kejatuhan ketara pada masa hadapan, nilai ‘bayaran’ yang diterima bagi IJM juga akan susut,” menurut kenyataan itu, sambil menegaskan bahawa risiko ini bukan bersifat teori semata-mata, tetapi telah terbukti melalui sejarah pasaran saham tempatan
Seruan Kepada Pengawal Selia dan Cadangan Alternatif
Sehubungan itu, DPMM Dewan Muda menggesa kerajaan Persekutuan, khususnya Perdana Menteri, untuk campur tangan dan mempertimbangkan penangguhan urus niaga ini bagi membolehkan penelitian menyeluruh dilakukan. Pada masa sama, Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Malaysia diminta meneliti pergerakan harga saham Sunway serta memastikan integriti pasaran sentiasa terpelihara
Sebagai alternatif, pertubuhan itu mencadangkan agar satu konsortium diterajui MARA, Ekuinas dan TERAJU, bersama institusi pelaburan berkaitan kerajaan dan pemain korporat Melayu, dipertimbangkan bagi menilai pengambilalihan IJM. Cadangan tersebut disifatkan lebih selari dengan aspirasi pemerkasaan ekonomi Bumiputera dan perlindungan aset strategik negara
Menurut Pengerusi Dewan Muda DPMM, Hisham Abdul Hamid, isu Sunway–IJM bukan sekadar soal keuntungan atau kecekapan korporat, tetapi persoalan pemilikan, kawalan dan disiplin penilaian aset negara. Kegagalan menilai urus niaga ini berdasarkan asas NTA dan kepentingan nasional, tegas beliau, berisiko mempertaruhkan kedaulatan ekonomi Malaysia dalam jangka panjang
