Juneyao Air Buka Laluan Terus Shanghai–Tawau, Sasar Lonjakan Pelancong China ke Sabah

Syarikat penerbangan China, Juneyao Air, memulakan penerbangan berjadual sulung dari Shanghai ke Tawau hari ini, menandakan pembukaan laluan udara terus baharu yang dijangka mempercepat kemasukan pelancong China ke Sabah dan mengukuhkan hubungan pelancongan dua hala Malaysia–China.

Laluan Shanghai–Tawau itu beroperasi tiga kali seminggu pada Selasa, Khamis dan Sabtu menggunakan pesawat berkapasiti 180 tempat duduk, sekali gus menambah kapasiti penerbangan antarabangsa ke pantai timur Sabah yang semakin mendapat permintaan dalam kalangan pelancong China.

Ketibaan penerbangan sulung tersebut disambut oleh wakil Tourism Malaysia, Darryl Hamzah; Malaysia Airports Berhad, Rehan Shafiq Azizan; serta Sabah Tourism Board, Shirly Ho, bersama Simon Ng daripada Ground Team Red Sdn Bhd selaku pengendali darat Juneyao Air.

Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Amirul Rizal Abdul Rahim, berkata pembukaan laluan berjadual itu merupakan langkah strategik dalam memperkukuh kesalinghubungan udara antara Malaysia dan China melalui Sabah, khususnya menjelang kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).

“Perkhidmatan baharu ini bukan sahaja memudahkan pergerakan pelancong dari China, malah menyokong pertumbuhan pelancongan Sabah dengan menawarkan akses terus ke destinasi utama di Malaysia Timur,” katanya dalam satu kenyataan.

Tourism Malaysia memaklumkan bahawa China kekal sebagai antara pasaran sumber terpenting negara, dengan ketibaan pelawat dari negara itu mencecah 4.3 juta orang bagi tempoh Januari hingga November 2025, meningkat 25.9 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

Menurut agensi itu, Tawau memainkan peranan sebagai pintu masuk strategik ke pantai timur Sabah, menyediakan akses ke destinasi pelancongan marin dan eko-pelancongan terkenal termasuk Semporna dan kepulauan sekitarnya, yang menjadi tarikan utama pelancong China.

Pengenalan laluan Shanghai–Tawau dijangka memperluas rangkaian penerbangan antarabangsa ke Malaysia Timur, meningkatkan kebolehcapaian destinasi serta menyokong usaha mengekalkan momentum pertumbuhan pelancongan negara menjelang TMM2026.

Tourism Malaysia turut menyatakan komitmen untuk bekerjasama rapat dengan Juneyao Air dalam inisiatif promosi berterusan bagi memperkukuh kehadiran Malaysia di pasaran Shanghai dan wilayah sekitarnya, sekali gus merangsang ketibaan pelawat dan perbelanjaan pelancongan dari China.

Back To Top