SPRM Serbu Pejabat Invest Sabah Berhad, CEO bakal ditamatkan?

KOTA KINABALU — Hari ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menjalankan serbuan di pejabat Invest Sabah Berhad, di tengah meningkatnya dakwaan salah guna kuasa dan pelanggaran integriti yang melibatkan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr. Firdausi Suffian. Tindakan itu dilakukan sebagai sebahagian daripada siasatan rasmi terhadap dakwaan penyalahgunaan kuasa, tuntutan perbelanjaan tidak berasas serta konflik kepentingan dalam pengurusan agensi pelaburan negeri itu.

Menurut sumber dalaman, anggota SPRM dilihat memasuki ibu pejabat Invest Sabah Berhad pagi ini dan mengambil beberapa dokumen berkaitan perjalanan luar negara, tuntutan perbelanjaan serta urusan dalaman syarikat. Operasi itu berterusan sepanjang pagi, dengan pegawai penyiasat memeriksa fail-fail berkaitan lawatan rasmi ke luar negara serta dokumen kewangan yang dipercayai relevan dengan siasatan. SPRM belum mengeluarkan kenyataan rasmi, namun difahamkan serbuan ini adalah susulan aduan awam dan bukti baru yang dilaporkan oleh laman portal themalaysiancorporates.com pada 5 Januari lalu berkaitan lawatan luar negara yang didakwa bertukar menjadi percutian keluarga dan tuntutan dana tidak berpatutan.

Dalam perkembangan berkaitan, Lembaga Pengarah Invest Sabah Berhad dilaporkan akan mengadakan mesyuarat khas pada 7 Januari, bagi menentukan kedudukan Dr. Firdausi sebagai CEO. Sumber memberitahu bahawa mesyuarat itu mengambil kira bukti-bukti awal yang dibangkitkan, lawatan ke Osaka Jepun, Brunei dan Ras Al Khaimah Investment and Business Summit (RAKIS) 2024 yang menjadi percutian ke Dubai tanpa justifikasi jelas melibatkan perbelanjaan syarikat yang tidak disokong dokumen lengkap.

Keputusan rasmi mesyuarat itu dijangka diumumkan tidak lama lagi, dengan kemungkinan Lembaga Pengarah mempertimbangkan prosiding tatatertib, termasuk penangguhan tugas serta penubuhan panel audit dalaman untuk menyiasat setiap dakwaan salah guna kuasa. Sumber berkata jawatan CEO Dr Firdausi akan berakhir. Keputusan ini akan menjadi titik penting dalam usaha memperbaiki tadbir urus dan akauntabiliti agensi pelaburan negeri yang sejak akhir-akhir ini menjadi tumpuan media dan observasi awam.

Setakat ini Pegawai SPRM belum membuat kenyataan rasmi kepada media mengenai serbuan SPRM terhadap Invest Sabah Bhd.

Back To Top