22 Juta Rakyat Terima SARA RM100 Bermula 9 Februari

KUALA LUMPUR — Seramai 22 juta rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas akan menerima bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) berjumlah RM100 yang akan disalurkan menerusi MyKad masing-masing bermula 9 Februari ini.

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, berkata bantuan berkenaan diberikan secara menyeluruh kepada semua rakyat dewasa tanpa mengira latar belakang, sebagai langkah meringankan tekanan kos sara hidup menjelang musim perayaan.

“Ini bertujuan membantu persiapan Ramadan serta sambutan Tahun Baharu Cina,” katanya dalam Perutusan Tahun Baharu 2026 yang disiarkan secara dalam talian.

Selain itu, Anwar memaklumkan bahawa bantuan SARA bulanan sehingga RM200 akan mula dikreditkan secara berperingkat melalui MyKad penerima seawal 9 Januari, manakala Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa Satu sehingga RM500 akan mula disalurkan bermula 20 Januari.

Pada 23 Julai tahun lalu, kerajaan mengumumkan pemberian khas SARA RM100 kepada 22 juta rakyat dewasa, yang disalurkan melalui MyKad dan boleh digunakan bagi pembelian barangan keperluan asas.

Kredit RM100 tersebut sah digunakan sehingga 31 Disember lalu di lebih 7,300 premis runcit berdaftar di seluruh negara.

Secara keseluruhan, peruntukan bagi program STR dan SARA pada tahun lalu mencecah RM15 bilion, menjadikannya nilai tertinggi dalam sejarah pelaksanaan bantuan tunai oleh kerajaan Malaysia.

Back To Top