KUALA LUMPUR — Anak syarikat milik penuh TRC Synergy Bhd, Trans Resources Corporation Sdn Bhd, memperoleh kontrak bernilai RM550.8 juta daripada SRS Consortium Sdn Bhd bagi pelaksanaan kerja berkaitan projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara di Pulau Pinang.
Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, syarikat itu memaklumkan kontrak berkenaan meliputi kerja-kerja pembinaan dan penyiapan struktur jejambat, pembinaan stesen, kerja-kerja pelancaran Segmental Box Girder (SBG) serta pelaksanaan pelbagai kerja sokongan lain yang berkaitan dengan projek berkenaan.
TRC Synergy berkata penganugerahan kontrak tersebut tidak memberi kesan terhadap modal saham terbitan dan berbayar, pegangan pemegang saham utama, nilai aset bersih sesaham serta tahap keberhutangan kumpulan.
Bagaimanapun, lembaga pengarah berpandangan bahawa projek berkenaan dijangka memberi sumbangan positif kepada pendapatan dan pendapatan sesaham kumpulan pada masa akan datang, tertakluk kepada pelaksanaan projek berjalan lancar tanpa sebarang keadaan luar jangka.
