Genting Malaysia Bhd mencapai satu lagi pencapaian strategik apabila anak syarikat milik penuhnya secara tidak langsung, Genting New York LLC, berjaya memperoleh lesen kasino komersial daripada New York State Gaming Commission, membuka laluan kepada operasi penuh bermula suku kedua 2026.
Lesen tersebut meletakkan Genting Malaysia sebagai salah satu daripada tiga pemenang bidaan kasino di negeri New York, bersama Bally’s Corp dan Hard Rock Metropolitan Park, projek yang disokong oleh pengasas Point72 Ventures dan pemilik New York Mets, Steve Cohen.

Sebagai sebahagian daripada bidaan, Genting Malaysia merancang untuk menaik taraf racino sedia ada kepada sebuah resort kasino bersepadu bernilai US$5.5 bilion di kawasan Queens, meliputi keluasan 29.54 hektar. Pembangunan ini akan merangkumi kemudahan permainan, hiburan, hospitaliti, makanan dan minuman serta infrastruktur awam.
Penganugerahan lesen itu merupakan hasil perbincangan dan penglibatan komuniti selama setahun dengan pihak berkuasa kawal selia tempatan.

Menurut Ketua Jualan Ekuiti Rakuten Trade, Vincent Lau, lesen tersebut merupakan pemangkin jangka panjang kepada Genting Malaysia kerana membolehkan syarikat memperluaskan pendedahan pasaran ke Amerika Syarikat, yang jauh lebih besar berbanding pasaran domestik.
CIMB Securities dalam nota penyelidikannya turut berpandangan Genting Malaysia berada dalam kedudukan strategik kerana menikmati kelebihan operasi selama kira-kira empat tahun sebagai satu-satunya kasino yang beroperasi sepenuhnya dari pertengahan 2026 hingga 2030. Keadaan ini dijangka membolehkan Resorts World New York City memaksimumkan hasil kasar permainan meja dalam tempoh tersebut.
Media Amerika Syarikat melaporkan ketiga-tiga kasino berlesen itu berpotensi menjana kira-kira US$7 bilion hasil permainan dalam tempoh 10 tahun, selain menyumbang US$1.5 bilion yuran lesen dan US$5.9 bilion hasil cukai kepada negeri New York, di samping mewujudkan peluang pekerjaan dan pembangunan infrastruktur.

Menurut Bloomberg, kelulusan tersebut juga menandakan kali pertama kasino komersial penuh dibenarkan beroperasi dalam lima borough bandar New York.
Di bawah pelan pembangunan Genting Malaysia, resort bersepadu itu bakal menampilkan 2,000 bilik hotel, lantai permainan seluas 500,000 kaki persegi dengan 6,000 mesin slot dan 800 meja permainan, selain dewan hiburan berkapasiti 7,000 tempat duduk, lebih 30 premis makanan dan minuman, ruang persidangan berskala besar serta lebih 4 hektar kawasan hijau komuniti.
Sementara itu, syarikat induk Genting Bhd yang melancarkan tawaran pengambilalihan Genting Malaysia pada Oktober lalu, telah melaksanakan beberapa latihan pembiayaan hutang bagi menyokong sebahagian pembiayaan projek dan pengambilalihan tersebut.
Setakat penutupan tawaran pada 1 Disember, Genting kini memegang 73.13% kepentingan dalam Genting Malaysia, selepas usaha untuk menjadikan syarikat itu persendirian pada harga RM2.35 sesaham tidak berjaya.
