MELAKA – Pendedahan terbaharu polis berhubung insiden tembakan di Durian Tunggal menimbulkan persoalan besar terhadap naratif simpati yang cuba dibina pihak tertentu, apabila didapati tiga lelaki yang ditembak mati merupakan penjenayah tegar, manakala wanita yang tampil mendakwa dirinya isteri salah seorang suspek sebenarnya hanya kekasih dan turut mempunyai rekod jenayah serius.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar, mengesahkan wanita berusia 31 tahun itu bukan isteri sah kepada lelaki yang ditembak mati, sebaliknya hanya tinggal bersama suspek berkenaan sejak tiga tahun lalu walaupun lelaki itu masih mempunyai isteri yang menetap di Johor.
Lebih mengejutkan, siasatan polis mendapati wanita terbabit mempunyai sekurang-kurangnya 10 rekod jenayah sejak 2012, termasuk kes curi kenderaan, samun dan cubaan membunuh. Wanita itu juga pernah ditahan di Jasin pada Julai lalu berhubung kes samun.
Polis turut mendedahkan latar belakang keluarga wanita itu apabila bapanya yang berusia 55 tahun mempunyai 24 rekod jenayah lampau, dan kini masih dikehendaki bagi membantu siasatan kes curi kenderaan serta curi dalam bangunan.

Tiga suspek bukan mangsa biasa, disyaki terlibat lebih 20 kes jenayah
Dalam insiden tembak-menembak yang berlaku sekitar 4.30 pagi di sebuah ladang kelapa sawit di Durian Tunggal, tiga lelaki berusia antara 24 hingga 29 tahun ditembak mati selepas salah seorang daripada mereka menyerang anggota polis dengan parang ketika operasi dijalankan.
Serangan itu menyebabkan seorang anggota polis berpangkat koperal, berusia awal 30-an, cedera parah di lengan kiri, sekali gus menimbulkan ancaman nyata terhadap nyawa anggota keselamatan yang sedang menjalankan tugas.
Menurut polis, ketiga-tiga suspek dipercayai terlibat dalam lebih 20 kes jenayah di Melaka, selain masing-masing mempunyai kaitan dengan kes jenayah di Negeri Sembilan dan Selangor, dengan jumlah kerugian keseluruhan dianggarkan mencecah RM1.35 juta.
Keselamatan polis diutamakan, tindakan menembak berasas
Walaupun terdapat dakwaan daripada ahli keluarga suspek yang mempertikai tindakan polis, penemuan latar belakang jenayah ketiga-tiga lelaki tersebut serta kekasih suspek memperkukuh pendirian bahawa insiden itu melibatkan penjenayah berisiko tinggi, bukannya individu awam yang tidak bersalah.
“Apabila anggota polis diserang dengan senjata berbahaya ketika bertugas, tindakan mempertahankan diri adalah perlu. Keselamatan anggota keselamatan tidak boleh dikompromi,” kata sumber keselamatan.
Susulan dakwaan pihak keluarga, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman telah menubuhkan satu pasukan khas bagi meneliti aduan, namun polis menegaskan setiap operasi dijalankan mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan undang-undang yang ditetapkan.
Dalam kalangan masyarakat awam pula, semakin ramai menyuarakan sokongan terbuka terhadap tindakan tegas polis, dengan pandangan bahawa tiada sebab untuk meratapi nasib penjenayah bersenjata yang mengancam nyawa anggota penguat kuasa.
Nota: jika sudah penjenayah apapun cara hidup mereka akan cara penjenayah. Mengapa NGO India Malaysia bela penjenayah?
