KUALA LUMPUR — Di tengah kekecohan industri mengenai siasatan SPRM terhadap projek pusat data Sunway dan ura-ura pengambilalihan IJM Corporation yang hangat diperkatakan, pengurusan tertinggi kumpulan itu dilihat mempergiat usaha memulihkan imej korporatnya. Terbaharu, Pengasas dan Pengerusi Kumpulan Sunway, Tan Sri Dr Jeffrey Cheah, sekali lagi dinobatkan sebagai ‘Heroes of Philanthropy’ oleh Forbes Asia, menjadikan kononnya beliau satu-satunya tokoh di Asia menerima pengiktirafan itu sebanyak lima kali.
Pengiktirafan daripada penerbitan perniagaan berpangkalan di Amerika Syarikat itu menzahirkan komitmen jangka panjang Cheah terhadap pendidikan, pembangunan bakat dan kerja kebajikan — imej yang dilihat penting ketika Sunway kini berada dalam radar awam dan regulator.
Rekod Filantropi Lima Kali – Suatu Pencapaian Unik di Asia?
Cheah sebelum ini disenaraikan pada 2021, 2019, 2015 dan 2009, menjadikan penyertaannya tahun ini sebagai penegasan terhadap reputasinya sebagai tokoh korporat yang konsisten memberi kembali kepada masyarakat.
“Saya percaya setiap insan mesti mempunyai tujuan hidup yang lebih tinggi. Bagi saya, ia adalah komitmen memberi kembali kepada masyarakat demi manfaat generasi masa depan,” katanya ketika mengulas pencapaian terbaharu itu.
Beliau menegaskan golongan berjaya secara kewangan mempunyai tanggungjawab moral memajukan pendidikan kerana pendidikan berkualiti adalah asas pembangunan masyarakat.
Orang kata ada wang semua boleh beli!
RM967 Juta Disalurkan, Bakal Cecah RM1 Bilion Menjelang 2026
Hingga kini, Yayasan Jeffrey Cheah (JCF) telah menyalurkan lebih RM967 juta dalam bentuk biasiswa dan geran kepada puluhan ribu pelajar, termasuk daripada keluarga B40. Yayasan itu dijangka melepasi angka RM1 bilion pada 2026.
Pada November 2025, Cheah mengumumkan komitmen baharu bernilai RM500 juta dalam tempoh lima tahun bagi menubuhkan salah satu dana wakaf pendidikan terbesar di Malaysia, memberi tumpuan kepada kecemerlangan akademik, penyelidikan bertaraf dunia dan inovasi di Sunway University.
Pendekatan wakaf pendidikan itu mencontohi struktur institusi antarabangsa seperti Harvard University dan University of Cambridge, menjadikan model pendidikan Sunway antara yang paling progresif di rantau ini.
Pelaburan Dalam Pendidikan Awam & Institusi Negara
Selain pendidikan tinggi, Cheah turut menyumbang lebih RM57 juta kepada pembangunan 10 sekolah awam di seluruh negara.
Di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Yayasan Jeffrey Cheah menyalurkan RM5 juta untuk penubuhan Tan Sri Sir Jeffrey Cheah Distinguished Chair di Fakulti Perubatan — satu jawatan profesor tersohor yang bakal menarik pakar antarabangsa bagi memacu penyelidikan kesihatan awam dan perubatan.

Jawatan itu turut bekerjasama rapat dengan Jeffrey Cheah Sunway Medical School di Sunway University, menyokong latihan doktor dan pakar masa depan.
Model Perusahaan Sosial Terbesar Dalam Pendidikan Malaysia
Yayasan Jeffrey Cheah mengurus keseluruhan institusi pendidikan dalam Sunway Education Group, termasuk Sunway University, Sunway Colleges dan Sunway International Schools, menerusi model bukan berasaskan keuntungan — menjadikannya yayasan pendidikan sosial terbesar di Malaysia.
Selaras dengan komitmen terhadap 17 Matlamat Pembangunan Lestari PBB (UN-SDGs), Cheah menyalurkan tambahan AS$5 juta kepada UN Sustainable Development Solutions Network (UN-SDSN), menjadikan jumlah keseluruhan melebihi AS$25 juta.
UN-SDSN dipimpin tokoh ekonomi global, Prof Jeffrey Sachs, dan pusat Asia rangkaiannya beroperasi di Sunway University, salah satu daripada hanya tiga pusat utama dunia selain New York dan Paris.
Ibu pejabat Asia UN-SDSN bekerjasama rapat dengan Jeffrey Sachs Center on Sustainable Development serta Sunway Centre for Planetary Health, menjadikan Sunway University antara institusi paling aktif di Asia dalam hal penyelidikan kelestarian planet.
