Untung Genting Bhd Jatuh 86.5%, Sebab Itulah Hendak Caj RM6 Naik Ke Atas

Keuntungan bersih Genting Bhd bagi suku ketiga tahun kewangan 2025 jatuh mendadak 86.5 peratus, didorong terutamanya oleh keuntungan pertukaran asing tidak direalisasi yang lebih lemah, pendapatan faedah yang lebih rendah serta susut nilai yang lebih tinggi.

Keuntungan bersih bagi tempoh tiga bulan berakhir 30 September 2025 adalah sebanyak RM30.3 juta, berbanding RM223.8 juta pada tempoh yang sama tahun sebelumnya. Mungkin disebabkan oleh kejatuhan teruk keuntungan Genting ini antara penyebab kenapa Genting mahu kenakan caj RM6 untuk naik ke atas Genting. Kita lihat Genting bakal lantik kontraktor tol mana untuk operasikan tol itu nanti. Sudah pasti tahun depan, untung Genting akan naik mendadak. Mana ada plaza tol yang rugi di Malaysia ini.

Bagaimanapun, hasil meningkat 14.25 peratus kepada RM7.48 bilion daripada RM6.54 bilion, menurut konglomerat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

Segmen perhotelan dan riadah Malaysia kumpulan mencatat peningkatan hasil sebanyak 19 peratus tahun ke tahun kepada RM1.99 bilion, disokong oleh volum perjudian yang lebih tinggi di Resorts World Genting.

Resorts World Sentosa di Singapura mencatat pertumbuhan hasil sebanyak 13 peratus kepada RM2.14 bilion, dengan keuntungan sebelum cukai (PAT) melonjak 35 peratus kepada RM759.4 juta.

Operasi perladangan Genting menyaksikan peningkatan hasil tiga peratus kepada RM882 juta, disokong harga produk sawit yang lebih tinggi, manakala bahagian tenaga mencatat pertumbuhan hasil lima peratus kepada RM305.9 juta, dipacu peningkatan penjanaan di loji Banten, Indonesia.

Sebaliknya, bahagian minyak dan gas terjejas oleh harga minyak mentah global yang lemah serta pengukuhan ringgit, dengan hasil merosot 21 peratus kepada RM89.6 juta.

Hasil segmen hartanah kumpulan pula naik lebih dua kali ganda kepada RM106.5 juta, didorong oleh pelancaran projek baharu.

Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2025, keuntungan bersih Genting merosot 73.5 peratus kepada RM278.42 juta, berbanding RM1.05 bilion pada tempoh sama tahun lalu, manakala hasil sedikit lebih rendah pada RM20.77 bilion berbanding RM20.84 bilion sebelum ini.

Back To Top