Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh Pejabat Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) pada 14 November 2025 telah umumkan perlantikan YBhg. Dato’ TPr. Fadlun bin Mak Ujud sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur.
Dato’ Fadlun yang berusia 58 tahun, telah mendapat perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim untuk dilantik sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur yang baharu selaras dengan Subseksyen 4 (2), Akta Ibu Kota Persekutuan 1960, berkuat kuasa mulai 15 November 2025.

Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Perancangan Bandar dan Desa dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) serta memiliki pengalaman lebih 28 tahun dalam bidang perancangan bandar, pembangunan wilayah dan pengurusan bandar raya.
Sebelum pelantikan ini, beliau telah menyandang sebagai Presiden Perbadanan Putrajaya sejak tahun 2022. Dalam tempoh tersebut, beliau telah menunjukkan kepimpinan yang cemerlang dalam memperkukuh pelaksanaan Putrajaya Smart City Blueprint 2025, Pelan Transformasi Hijau Putrajaya serta pelbagai inisiatif kesejahteraan bandar berasaskan prinsip inklusiviti dan kelestarian.
YBhg. Dato’ TPr. Fadlun juga adalah merupakan Ahli Lembaga Perancang Bandar dan Felo Pertubuhan Perancang Malaysia. Penglibatan aktif beliau dalam pelbagai forum dan jaringan profesional antarabangsa memperkukuh peranan beliau sebagai tokoh perancang bandar yang berwawasan dan berpandangan jauh.

Pejabat YB Menteri berkeyakinan pelantikan Dato Bandar yang baharu ini akan meneruskan kesinambungan kepimpinan di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan penuh integriti, kecekapan dan keprihatinan terhadap aspirasi rakyat. Kepimpinan beliau diharapkan dapat memperkukuh pelaksanaan agenda Bandar CHASE serta memastikan Kuala Lumpur terus maju sebagai ibu kota global yang berdaya saing, berdaya huni dan berpaksikan nilai MADANI.
Selain itu, YB Dr Zaliha turut mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada YBhg. Dato’ Seri TPr. (Dr.) Maimunah binti Mohd Sharif atas kepimpinan dan sumbangan beliau sepanjang tempoh perkhidmatan sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur yang telah banyak memperluas reputasi Kuala Lumpur di peringkat antarabangsa.
“Saya juga mengucapkan tahniah atas pelantikan terkini beliau sebagai Penasihat Hartanah PETRONAS dan percaya pengalaman luas beliau akan terus dimanfaatkan dalam menerajui agenda pembangunan strategik negara” kata Dr Zaliha.
