Kerajaan AS Siasat Prince Holding Group Berhubung Penipuan Kripto Bernilai USD$15 Billion

Dunia pelaburan Asia Tenggara sekali lagi menjadi tumpuan apabila kerajaan Amerika Syarikat (AS) melancarkan tindakan undang-undang berskala besar terhadap Prince Holding Group (PHG) dan pengerusinya, Chen Zhi, atas dakwaan penipuan kewangan, kerja paksa dan pengubahan wang haram yang melibatkan nilai mencecah berbilion dolar.

Kes ini bukan sahaja mencetuskan persoalan terhadap integriti syarikat yang selama ini berprofil tinggi di Kemboja, tetapi turut memberi isyarat jelas mengenai ketegasan Washington dalam membanteras jenayah siber dan kripto rentas sempadan.

Dakwaan Penipuan Kripto Paling Besar Abad Ini

Jabatan Kehakiman AS (DOJ) menuduh Chen Zhi mengendalikan skim pelaburan kripto palsu berasaskan taktik pig-butchering, iaitu modus operandi yang memancing mangsa untuk melabur dalam aset digital melalui platform palsu sebelum wang tersebut dialihkan ke rangkaian syarikat tertentu.

Tindakan undang-undang ini turut disertai rampasan kira-kira 127,000 Bitcoin — antara penyitaan mata wang kripto terbesar dalam sejarah moden. Nilai keseluruhan aset dirampas dianggarkan melebihi USD15 bilion, menandakan skala operasi yang luar biasa besar.

Elemen Pemerdagangan Manusia & Kerja Paksa: Tuduhan Paling Berat

Selain penipuan kewangan, pihak berkuasa AS mendakwa beberapa fasiliti yang dikendalikan kumpulan tersebut beroperasi seperti “kompaun kerja paksa”, di mana pekerja — majoritinya warganegara luar — didakwa dikurung, dipaksa bekerja dan dieksploitasi untuk mengendalikan pusat operasi penipuan atas talian.

Jika terbukti, dakwaan ini meletakkan kes Prince Group bukan sekadar skandal kewangan, tetapi tragedi hak asasi manusia yang merentas negara. Akhbar Kosmo pernah melaporkan seramai 170 rakyat Malaysia jadi mangsa penipuan kerja di Kemboja dan Myanmar pada tahun 2022. Gambar di bawah adalah lokasi KK Garden yang terletak di Myanmar, tempat penjenayah menahan orang luar termasuklah rakyat Malaysia untuk melakukan kerja-kerja scammer atas talian.

AS Kenakan Sekatan Besar-Besaran

Kementerian Kewangan AS melalui Pejabat Kawalan Aset Asing (OFAC) turut mengeluarkan sekatan ke atas lebih 100 individu dan entiti berkaitan Prince Group. Tindakan ini secara tidak langsung menyekat akses mereka kepada sistem kewangan global, termasuk bank dan bursa antarabangsa.

Kerjasama rentas negara — termasuk United Kingdom, Thailand dan Singapura — kini giat dijalankan untuk menjejak aliran dana serta memantau pemilikan aset yang mungkin berkait dengan operasi tersebut.

Kemboja Beri Reaksi Berhati-hati

Kerajaan Kemboja yang selama ini menonjolkan Prince Group sebagai pemain utama dalam sektor hartanah dan pembangunan negara mengeluarkan kenyataan berhati-hati. Walaupun menyatakan kesediaan bekerjasama, Phnom Penh menekankan bahawa sebarang tindakan mesti berlandaskan proses undang-undang yang adil.

Pemerhati politik melihat kes ini sebagai ujian besar kepada kredibiliti dan usaha Kemboja memperbaiki imej antarabangsa, khususnya dalam menangani sindiket penipuan yang beroperasi di rantau Mekong.

Kes ini dijangka mempercepatkan penyelarasan kawal selia kripto dan pelaburan digital di Asia Tenggara, termasuk Malaysia. Negara serantau dijangka menilai semula aspek pengawasan operasi pertukaran kripto, lesen penyedia perkhidmatan aset digital dan tahap “customer due diligence”. Pelabur runcit dan institusi semakin mengambil sikap berhati-hati terhadap syarikat yang menawarkan pulangan tinggi melalui aset digital, terutama dari pasaran baru muncul.

Kes ini membuatkan Reputasi Rantau Mekong Terjejas — Kemboja, Laos, Myanmar dan Thailand — telah lama dikaitkan dengan sindiket scam dan pusat operasi siber gelap. Kes Prince Group menguatkan lagi persepsi tersebut, menimbulkan risiko imej kepada negara yang sedang berusaha menarik pelaburan langsung asing (FDI).

Back To Top