Gabungan Sunway–IJM: Institusi diam, ekuiti Bumiputera terhakis & ‘maha kaya’ semakin kaya

Penggabungan bernilai berbilion ringgit antara dua gergasi korporat ini berisiko mencairkan pegangan institusi Bumiputera dan mengalihkan kawalan terhadap aset strategik negara — mencetuskan persoalan kritikal tentang tadbir urus, keadilan ekonomi, dan hala tuju masa depan

PADA zahirnya, cadangan penggabungan antara Sunway Bhd dan IJM Corp kelihatan seperti satu lagi urus niaga korporat biasa — pertukaran saham, penilaian bernilai berbilion ringgit, dan kelahiran gergasi kejuruteraan baharu yang bakal mendominasi landskap pembinaan Malaysia.

Di sebalik permukaan itu, perjanjian ini mengundang rasa déjà vu — corak yang sudah dikenali di mana kepentingan strategik Bumiputera perlahan-lahan dicairkan, sementara “golongan maha kaya” — khususnya jutawan bukan Bumiputera bertambah ‘kenyang’ dengan portfolio yang semakin gemuk.

Jelas sekali: IJM Corp bukan sekadar syarikat swasta biasa. Ia sarat dengan modal institusi Bumiputera. KWSP memiliki 18.04%, PNB 14.55%, dan turut disokong oleh KWAP, Tabung Haji, Amanah Raya serta Amanah Saham Bumiputera. Jika sudah digabung, bagaimana penyimpan Tabung Haji mahu menikmati dividen yang tinggi? Banyak dividen ini dihasilkan menerusi pelaburan dalam aset strategik terutamanya lebuhraya.

Mereka bukan pelabur pasif — mereka mewakili simpanan persaraan, ekuiti nasional dan aspirasi jangka panjang jutaan rakyat Malaysia. Juga harapan jutaan penyimpan dalam Tabung Haji, KWSP dan PNB. Mereka ini majoritinya adalah masyarakat bumiputera. Jika gabungan ini diteruskan, tentunya akan bangkitkan kemarahan besar penyimpan penyimpan ini terutamanya yang berada di luar bandar. Hari ini mereka sudah marah bila Pengerusi KWSP yang baharu mencadangkan agar ikut cakap Bank Dunia agar umur 65 tahun baru boleh keluarkan simpanan KWSP.

Semua syarikat ini adalah syarikat subsidari kepada IJM. Aset-aset strategik dan ianya tidak boleh dibiarkan menjadi pemusatan kuasa di tangan seorang individu sahaja iaitu – Tan Sri Jeffrey Cheah.

Namun kini, kita menyaksikan satu penggabungan yang berpotensi mencairkan pengaruh mereka, mengalihkan kawalan strategik dan memusatkan kuasa ke tangan Sunway Group — yang diterajui oleh Tan Sri Jeffrey Cheah.

Ini bukan sekadar soal perniagaan. Ini soal tadbir urus dan ketelusan kuasa. Ini soal mengelak negara daripada mengulang pola silam di bawah era Tun Dr Mahathir Mohamad — suatu tempoh di mana retorik “membela Melayu” sering digunakan, tetapi akhirnya yang paling makmur ialah segelintir elit korporat yang dekat dengan pusat kuasa.

Ketika itu, slogan pemerkasaan Bumiputera dijaja sebagai asas dasar. Namun realitinya? Kapitalisme kroni, pengukuhan kartel ekonomi, dan peluang membina kapasiti sebenar Bumiputera dalam sektor strategik terkubur, digantikan oleh jaringan kepentingan yang menguntungkan kelompok tertentu.

Kini, gema skrip itu muncul kembali. Pada 2020, sewaktu Tun Mahathir kembali sebagai Perdana Menteri, UEM Group mencadangkan penggabungan UEM Sunrise dengan EcoWorld Development Group. Cadangan itu, jika diteruskan, bakal memberi pengaruh besar kepada pemegang saham swasta EcoWorld, sambil meletakkan Khazanah dalam risiko hutang gabungan lebih RM6 bilion.

Ia dilabel “sinergi”, tetapi pengkritik melihatnya sebagai konsolidasi pintu belakang — membuka ruang pencairan kepentingan awam dan memberi laluan kepada taikun untuk menguasai aset strategik negara melalui naratif pembangunan.

Ketika kerajaan Mahathir berdepan tekanan untuk membuktikan komitmen reformasi, cadangan itu menerima tentangan awam dan penelitian ketat terhadap nilai strategik serta integriti keputusan tersebut. Akhirnya, ia dibatalkan — satu detik jarang di mana institusi bertindak mengundur selepas suara rakyat menuntut integriti.

Pada awal Oktober tahun ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim terpaksa campur tangan — mengingatkan GLIC dan syarikat milik kerajaan agar tidak menyimpang daripada mandat asal mereka: melindungi kepentingan Bumiputera, bukan menjualnya demi keuntungan jangka pendek.

Amarannya jelas: tadbir urus yang lemah membawa kepada salah urus, penjualan aset secara tergesa-gesa dan kitaran kegagalan yang akhirnya ditanggung oleh rakyat.

Jadi, mengapa kita mempertimbangkan penggabungan yang berisiko menjadikan IJM sebagai anak syarikat dalam empayar korporat Sunway? Mengapa kita membenarkan aset strategik — yang dibina atas kepercayaan awam dan modal Bumiputera — diserap masuk ke dalam konglomerat yang hanya menjawab kepada bilik lembaga pengarah swasta, bukan keutamaan negara?

Ini bukan sekadar penggabungan. Ini ujian terhadap hati nurani ekonomi kita.

Jika PNB, KWSP dan pelabur institusi lain meluluskan perjanjian ini tanpa perlindungan kukuh, mereka akan turut bersubahat dalam penghakisan ekuiti Bumiputera.

Pemusatan kuasa kepada seorang individu amat berisiko, lebih-lebih lagi melibatkan lebuhraya, pelabuhan dan aset strategik negara. Dan jika kerajaan terus membisu, ia berisiko mengkhianati prinsip yang selama ini diperjuangkan Anwar — ketelusan, kebertanggungjawaban dan pertumbuhan inklusif.

Malaysia tidak perlukan satu lagi monopoli. Negara perlukan satu penetapan semula — yang mengutamakan ekuiti strategik berbanding keselesaan korporat, dan kepentingan nasional berbanding cita-cita hartawan. Penggabungan ini bukan sekadar langkah perniagaan; ia satu amaran besar. Jika institusi yang diamanahkan untuk menjaga kepentingan Bumiputera terus berdiam diri, mereka turut bersubahat dalam penghakisan itu.

Pun begitu, Anwar berulang kali memberi amaran agar kerajaan tidak terus memberi subsidi kepada golongan ‘maha kaya’ — elit ultra-kaya Malaysia — sambil menegaskan bahawa sokongan negara mesti diselaraskan semula untuk melindungi golongan rentan. Jika penggabungan ini diteruskan tanpa penelitian, ia bukanlah isyarat reformasi, tetapi langkah ke belakang — satu bentuk restu dalam diam terhadap konsolidasi kuasa yang kononnya ditentang Anwar sendiri.

Lebih membimbangkan, pembiayaan untuk penggabungan seperti ini mungkin datang dari negara asing atau jiran serantau, sekali gus menimbulkan persoalan serius tentang kedaulatan ekonomi dan kawalan jangka panjang.

By Danial Mazlan

Back To Top