Penggabungan Sunway Bhd Dengan IJM Corporation Bhd (IJM Corp) Akan Membentuk Syarikat Pembinaan Terbesar Di Asia Tenggara

Penggabungan dua konglomerat pembinaan Sunway Bhd dan IJM Corporation Bhd (IJM Corp), jika menjadi kenuyataan boleh menjadikannya antara syarikat pembinaan yang terbesar bukan hanya di Malaysia tetapi Asia Tenggara.

Penganalisis ekonomi dari UniKL Business School, Profesor Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid, berkata IJM Corp adalah syarikat pembinaan dan kejuruteraan utama yang terbabit dalam pelbagai sektor termasuk hartanah, infrastruktur dan pembinaan bangunan.

Beliau berkata, anak syarikat Sunway, iaitu Sunway Construction Group Bhd pula mengkhusus dalam pembinaan, kejuruteraan awam dan projek infrastruktur.

Justeru, katanya penggabungan ini akan meletakkan persaingan yang lebih sengit dengan syarikat pembinaan gergasi lain seperti YTL, UEM dan Gamuda.

“Namun, penggabungan ini akan menyebabkan landskap industri pembinaan negara diterajui oleh oleh beberapa syarikat besar atau oligopoli yang mempunyai skala ekonomi yang besar untuk bersaing pada peringkat rantau Asia tenggara dan global.

“Ia juga dijangka meningkatkan tahap kecekapan operasi serta kawalan harga barang mentah untuk bersaing di tahap lebih tinggi pada peringkat global.

“Diharapkan ia akan menstabilkan kos pembinaan di dalam negara dan pada masa sama dapat membangunkan lebih banyak perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam rantaian nilai industri, bukannya mendominasi industri dengan mengambil kerja pembinaan kontraktor kecil malah membangunkan mereka dengan lebih banyak lagi,” katanya kepada BH.

Sunway dilaporkan sedang meneroka penggabungan dengan IJM Corp, yang akan menghasilkan pembentukan sebuah kuasa besar kejuruteraan dan pembinaan.

Memetik sumber pasaran, penggabungan Sunway dan IJM Corp akan membabitkan pertukaran saham dalam urus niaga yang dikatakan bernilai berbilion ringgit, mengambil kira aset, penilaian dan permodalan pasaran kedua-dua syarikat terbabit.

Sunway dan IJM Corp sudah mengadakan perbincangan lebih setahun lalu, menurut sumber terbabit.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Sekolah Pengurusan dan Perniagaan MILA University, Dr Mohamad Khair Afham Muhamad Senan, berkata penggabungan itu boleh dianggap realistik dari sudut komersial, namun tidak semudah yang dijangka.

Beliau berkata, struktur pegangan saham IJM yang membabitkan institusi berkaitan kerajaan dan pemegang saham Bumiputera menjadikan sebarang pertukaran saham atau perubahan pemilikan perlu diteliti dari sudut dasar, bukan sekadar dari sudut penilaian pasaran.

Katanya, ini bermaksud kejayaan penggabungan banyak bergantung kepada cara urus niaga itu direka supaya kepentingan pemegang saham sedia ada dan keperluan dasar negara kekal terpelihara.

“Dari sudut struktur industri, penggabungan ini tidak serta-merta mewujudkan monopoli kerana industri pembinaan di Malaysia kekal berpecah dan masih ada beberapa pemain besar lain yang aktif dalam projek kerajaan, utiliti dan pembangunan bandar.

“Walaupun begitu, entiti baharu ini akan berada dalam kedudukan yang lebih kukuh untuk bersaing dalam projek bernilai tinggi seperti infrastruktur bandar, pusat data, pengangkutan dan pembangunan bersepadu kerana ia memiliki saiz, pengalaman dan kapasiti kewangan yang sukar ditandingi oleh kontraktor sederhana ,” katanya.

Mohamad Khair berkata, dari sudut ekonomi perniagaan, penggabungan ini ada rasional yang jelas kerana ia menambah kecekapan, memperkukuh daya saing dan berpotensi mewujudkan satu jenama pembinaan Malaysia yang lebih dipercayai pada peringkat serantau.

Kedua-dua syarikat itu bagaimanapun setakat ini menafikan perkembangan berkaitan penggabungan.

Dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, IJM berkata lembaga pengarahnya ‘tidak menyedari sebarang cadangan sedemikian dan belum pernah didekati berhubung penggabungan yang berpotensi’.

“IJM tertakluk kepada keperluan pendedahan Bursa Malaysia dan akan membuat pengumuman yang perlu sekiranya terdapat sebarang perkembangan material,” tambah kenyataan itu.

Sunway, dalam makluman berasingan, turut menjelaskan bahawa tiada sebarang perbincangan atau rundingan yang diadakan dengan IJM Corp.

“Sekiranya dan apabila keputusan muktamad dibuat berkaitan sebarang tindakan korporat, pengumuman yang berkaitan akan dibuat mengikut Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Bhd,” katanya.

Back To Top