Petronas Kerjasama Dengan Pertamina Bangunkan North Sumatra Offshore (NSO)

PETRONAS melalui anak syarikat milik penuhnya Vestigo Petroleum Sdn Bhd (Vestigo) menandatangani Perjanjian Prinsipal Utama (KPA) dengan PT Pertamina Hulu Energi (Pertamina) bagi peluang pembangunan North Sumatra Offshore (NSO).

PETRONAS dalam satu kenyataan berkata, kerjasama dua hala itu menyatukan dua peneraju tenaga nasional dan antarabangsa, menggabungkan kekuatan teknikal yang saling melengkapi, kepakaran dalam bidang medan marginal serta komitmen bersama untuk membangunkan sumber tenaga baharu secara bertanggungjawab bagi menyokong pertumbuhan mampan Indonesia.

Katanya, melalui perjanjian itu, Vestigo dan Pertamina memeterai hasrat bersama serta prinsip panduan bagi kerjasama dalam bidang yang dikenal pasti di bawah Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) NSO.

Menurut syarikat minyak dan gas nasional itu, perjanjian terbabit adalah lanjutan kepada Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara kedua-dua pihak pada Mac 2025 bagi meneroka potensi kerjasama dalam sektor huluan minyak dan gas.

“Kerjasama ini menegaskan komitmen PETRONAS untuk mengembangkan portfolio huluannya melalui perkongsian yang kukuh berasaskan aspirasi bersama dan kekuatan saling melengkapi.

“Dengan menjalin pakatan strategik bersama rakan kongsi yang boleh dipercayai, PETRONAS terus memperkukuh kehadirannya di peringkat global dan mempercepatkan penciptaan nilai mampan untuk pemegang saham,” katanya.

PT Pertamina Hulu Energi North Sumatra Offshore (PHE NSO) ialah anak syarikat kepada Pertamina yang bertanggungjawab menguruskan Blok NSO di bawah PSC yang sah sehingga 2038.

Sebagai pemegang aset, PHE NSO mengalu-alukan kerjasama strategik untuk membangunkan potensi baki blok tersebut dan mempercepatkan penciptaan nilai.

Vestigo, anak syarikat PETRONAS, ditubuhkan bagi memacu pembangunan dan pengeluaran medan minyak dan gas marginal.

Sebagai syarikat huluan khusus dalam kumpulan PETRONAS, Vestigo membina rekod prestasi kukuh dalam menggiatkan semula medan matang, pelaksanaan projek yang menepati keperluan serta inovasi komersial.

Melalui pembangunan semula yang kos efektif dan peningkatan pengeluaran di pelbagai aset luar pesisir di Malaysia, Vestigo terus menyumbang kepada penciptaan nilai mampan dan kecemerlangan operasi dalam sektor huluan.

Ketika ini, PETRONAS mengendalikan PSC Ketapang, North Madura II, North Ketapang, Serpang dan Bobara serta merupakan rakan usaha sama dalam lima PSC lain yang terletak di darat dan luar pesisir Sumatera, Laut Natuna, Jawa Timur dan Indonesia Timur.

Back To Top