Microsoft Umum Pelaburan USD$2.2 Billion Di Malaysia Membangunakan Rantau Awan Di Johor Bharu

Microsoft mengumumkan rancangan untuk Southeast Asia 3, rantau awan kedua di Malaysia, sebagai sebahagian daripada pelaburan syarikat teknologi gergasi itu bernilai AS$2.2 bilion di negara ini.

Rantau awan baharu itu akan dibangunkan di Johor Bahru, dengan tujuan mempercepatkan transformasi kecerdasan buatan (AI) di seluruh Asia Tenggara dan mengukuhkan peranan Malaysia sebagai hab digital serantau.

Menurut Microsoft, Southeast Asia 3 akan menawarkan rangkaian perkhidmatan awan paling menyeluruh syarikat itu untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap infrastruktur digital yang dipercayai dan berskala besar.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo, berkata pencapaian ini mencerminkan kemajuan berterusan Malaysia dalam ekonomi digital dan meletakkan negara sebagai pangkalan yang selamat serta boleh dipercayai bagi aset digital serantau.

Ketua Pegawai Eksekutif Organisasi Komersial Microsoft, Judson Althoff, berkata Asia Tenggara kekal sebagai salah satu rantau paling dinamik di dunia, dan pengembangan ini menegaskan komitmen Microsoft untuk memacu inovasi yang bertanggungjawab.

“Pelaburan kami mencerminkan komitmen Microsoft untuk membantu kerajaan, perniagaan dan komuniti berinovasi secara bertanggungjawab, membina dengan keyakinan, serta mempercepatkan perjalanan transformasi AI mereka — sekali gus memperkasa organisasi untuk muncul sebagai peneraju baharu,” katanya pada acara Microsoft AI Tour di sini hari ini.

Kemudahan di Johor ini akan menambah kepada rangkaian lebih 70 rantau awan global Microsoft Azure.

Awal tahun ini, Microsoft telah melancarkan rantau awan Malaysia West, yang menyokong organisasi tempatan dalam memperkukuh keupayaan AI mereka.

Microsoft berkata, pusat data baharu itu akan dibina dan dikendalikan secara bertanggungjawab di bawah Datacentre Community Pledge, dengan tumpuan kepada pembangunan kemahiran tempatan, kelestarian dan inisiatif impak sosial.

Antara projek yang dirancang ialah program asas pusat data Skills2Work dengan kerjasama The Asia Foundation dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), yang akan melatih 150 graduan dalam tempoh 12 bulan untuk kerjaya dalam industri pusat data.

Microsoft juga akan bekerjasama dengan UNDP Malaysia dan BPEN Johor untuk melatih 200 jurulatih daripada 20 perusahaan sosial, yang akhirnya memberi manfaat kepada kira-kira 10,000 ahli komuniti.

Selaras dengan matlamat kelestarian Malaysia, rantau awan Johor ini akan menggunakan penjana biofuel boleh diperbaharui dan sistem penyejukan tanpa penyejatan air yang mengurangkan penggunaan air dengan ketara.

Selain itu, gergasi teknologi itu akan bekerjasama dengan CLEAN International dan Water Watch Penang untuk memasang sistem penuaian air hujan di 42 sekolah di Johor, memberi manfaat kepada lebih 20,000 orang setiap tahun.

Pengarah Urusan Microsoft Malaysia, Laurence Si, berkata pengembangan ini mengukuhkan komitmen jangka panjang Microsoft terhadap pertumbuhan Malaysia yang dipacu AI.

“Sebagai rakan teknologi dipercayai Malaysia selama lebih 33 tahun, Microsoft komited untuk memperkasa tenaga kerja negara dengan kemahiran yang diperlukan untuk berjaya dalam ekonomi berasaskan AI,” katanya.

Menerusi program AI for Malaysia’s Future (AIForMYFuture), syarikat itu menyasarkan untuk melengkapkan 800,000 rakyat Malaysia dengan kemahiran berkaitan AI menjelang akhir 2025.

Setakat Oktober, lebih 734,000 individu telah dilatih merangkumi sektor awam dan swasta, institusi akademik, serta komuniti yang kurang mendapat akses.

Back To Top