Adnan Zainol Abidin dilantik jadi Pengerusi baharu Vantris Energy berkuat kuasa 1 Oktober 2025 bagi menggantikan Shahin Farouque Jammal Ahmad yang akan melepaskan jawatan pada hari yang sama.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, katanya Shahin akan terus berkhidmat sebagai ahli lembaga pengarah bukan bebas Vantris Energy.
Menurutnya sebelum ini Adnan menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Pegawai Operasi Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dan berpengalaman lebih 40 tahun dalam industri minyak dan gas.
“Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Kejuruteraan Kimia University of Leeds, beliau memulakan kerjaya bersama PETRONAS pada 1984 sebagai jurutera pelatih di ASEAN Bintulu Fertilizer.
“Beliau kemudiannya memegang pelbagai jawatan kepimpinan dalam petrokimia, gas asli cecair, pengurusan projek dan operasi di Malaysia dan di peringkat antarabangsa,” kata penyedia perkhidmatan dan penyelesaian tenaga bersepadu global itu.

Antara jawatan yang disandang beliau adalah meneraju perniagaan gas Petronas sebagai Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif serta Pengerusi Pengerang Refining Company Sdn Bhd dan Pengerang Petrochemical Company Sdn Bhd.
Sementara itu, Vantris Energy Bhd, yang sebelum ini dikenali sebagai Sapura Energy Bhd, mencatatkan kerugian bersih RM230.76 juta bagi suku kedua berakhir 31 Julai 2025, berbanding kerugian bersih RM5.23 juta pada suku dua tahun kewangan 2025.

Perolehan pula susut kepada RM1.06 bilion daripada RM1.21 bilion bagi tempoh yang sama.
Prestasi itu terutamanya disebabkan perolehan lebih rendah daripada segmen kejuruteraan dan pembinaan susulan penyelesaian beberapa projek pada tahun kewangan 2025, menurutnya dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini.
Bagi separuh pertama tahun kewangan 2026, Vantris merekodkan kerugian bersih yang lebih tinggi iaitu RM708.71 juta berbanding keuntungan bersih RM76.90 juta pada tempoh sama tahun kewangan 2025, manakala perolehan berkurangan kepada RM1.87 bilion daripada RM2.38 bilion.