Saham Astro Malaysia Holdings Bhd sekali lagi jatuh ke paras terendah dalam sejarah pada 26 September 2025 selepas pengendali televisyen berbayar itu melaporkan satu lagi keputusan kewangan yang berada di bawah jangkaan pasaran.
Pada sesi dagangan pagi tadi, saham Astro jatuh kepada 13 sen, paras terendah yang dicatatkan sehari sebelumnya dengan lebih sejuta saham bertukar tangan.
Keuntungan bersih Astro merosot kepada RM16.39 juta pada suku kedua berakhir 31 Julai 2025 berbanding RM54.71 pada suku yang sama tahun sebelumnya.

Perolehan turut menyusut kepada RM683.21 juta daripada RM787.30 juta sebelumnya, terutamanya disebabkan oleh hasil langganan yang lebih rendah, jualan hak pemprograman dan pendapatan pengiklanan.
Bagi tempoh enam bulan tersebut, syarikat itu merekodkan keuntungan bersih lebih rendah sebanyak RM29.87 juta berbanding RM71.72 juta bagi tempoh yang sama tahun lalu, diheret oleh pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) yang lebih rendah.
Ia sebahagiannya telah diimbangi oleh perbelanjaan cukai yang lebih rendah dan kos pembiayaan bersih yang lebih rendah, disokong oleh keuntungan pertukaran asing tidak direalisasikan yang menggalakkan daripada liabiliti pajakan tidak dilindungi.

Sementara itu, perolehan bagi separuh pertama turun kepada RM1.39 bilion, susut 11.1 peratus atau RM173.5 juta daripada RM1.56 bilion sebelumnya, terutamanya disebabkan oleh penurunan dalam langganan, hasil hak pemprograman dan pengiklanan.

TA Securities Research dalam satu nota penyelidikan berkata, penjenamaan semula perkhidmatan televisyen berbayar Astro di bawah inisiatif Astro One tidak mencapai peningkatan langganan seperti yang diharapkan.
Sebaliknya, ia berkata strategi ini telah mencetuskan cannibalisation, apabila pelanggan beralih kepada pakej yang lebih murah, mengakibatkan kehilangan pelanggan serta pengurangan dalam purata hasil setiap pengguna (ARPU).

“Akibatnya, pendapatan telah merosot. Walaupun pihak pengurusan menjangkakan ARPU akan stabil, kami mengambil maklum bahawa tiada peningkatan dalam jumlah pelanggan, justeru kami menjadi lebih berhati-hati terhadap prospek syarikat sehingga terdapat tanda-tanda pemulihan yang lebih jelas.
“Kami juga mengambil pendekatan berhati-hati memandangkan cabaran makroekonomi dan sentimen pengguna yang suram mungkin akan mengehadkan prospek pertumbuhan serta memperlahankan pelaksanaan inisiatif transformasi Astro,” katanya,
Firma penyelidikan pasaran itu berkata, pihak pengurusan mengulangi komitmen mereka terhadap agenda transformasi Astro, dengan fokus kepada pemacu pertumbuhan jangka panjang yang mampan melalui pengukuhan penawaran kandungan tempatan selain pengembangan perniagaan sampingan seperti sooka, Astro Fibre, penyelesaian perusahaan, dan pengiklanan terarah di samping pelarasan struktur kos legasi.