IJM Corporation, Gamuda Dan SP Setia Takluki Pembangunan Hartanah Di Kota London

Di tengah-tengah landskap kota London yang ikonik, nama Malaysia kini gah terpahat bukan sahaja sebagai pelancong atau pelajar, tetapi sebagai peneraju pembangunan hartanah mega yang membentuk semula wajah ibu negara United Kingdom.

Tiga syarikat gergasi negara iaitu IJM Corporation, Gamuda, dan S P Setia, kini berdiri sebaris dengan pemaju hartanah terkemuka dunia, membuktikan keupayaan dan wawasan Malaysia di peringkat global.

Menurut analisis CIMB Securities, syarikat terbabit bukan lagi pemain sampingan tetapi merupakan antara penggerak utama dalam pasaran hartanah UK yang sangat kompetitif.

“Kejayaan mereka menembusi pasaran yang mencabar ini, terutamanya ketika harga rumah di UK menunjukkan penurunan tahunan pertama sejak Januari 2024, membuktikan daya tahan dan strategi perniagaan yang mantap,” katanya.

S P Setia, melalui pemilikan 40 peratus sahamnya, menjadi antara watak utama di sebalik kelahiran semula Battersea Power Station, sebuah stesen janakuasa arang batu terbiar yang kini telah berubah menjadi destinasi gaya hidup, kediaman dan perniagaan yang meriah.

Projek transformasi ini bukan sahaja menyelamatkan sebuah bangunan warisan, malah telah berjaya menarik lebih 30 juta pengunjung sejak dibuka pada Oktober 2022, satu pencapaian yang membanggakan.

Sementara itu, di nadi pusat kewangan London yang dikenali sebagai ‘Square Mile’, Gamuda dan IJM pula mengukir nama melalui projek pejabat premium.

Gamuda, dengan pemilikan 75 peratus dalam projek 75 London Wall, sedang mengubah bekas ibu pejabat Deutsche Bank menjadi sebuah bangunan pejabat moden dan mampan.

Hanya di seberang jalan, IJM menerajui sepenuhnya projek pengubahsuaian bangunan bersejarah Grade II, 25 Finsbury Circus, menjadi ruang pejabat bertaraf dunia.

Dalam kalangan ketiga-tiga syarikat ini, IJM mempunyai pendedahan terbesar dan paling strategik di pasaran UK.

Melalui usaha sama 50:50 dengan Network Rail, pengendali infrastruktur kereta api UK, IJM mempunyai akses kepada potensi projek dengan nilai pembangunan kasar (GDV) mencecah £7 bilion, atau kira-kira RM40 bilion.

Kerjasama ini selari dengan rancangan kerajaan UK untuk membina 40,000 rumah baharu di atas tanah-tanah milik syarikat kereta api yang tidak lagi digunakan.

Kejayaan syarikat-syarikat Malaysia ini bukan berlaku secara kebetulan.

Ia didorong oleh strategi bijak untuk memberi tumpuan kepada sektor-sektor khusus yang mempunyai permintaan tinggi.

Ketika pasaran jualan rumah berdepan cabaran, IJM dan Gamuda beralih kepada pembangunan projek perumahan untuk disewa (BTR), penginapan pelajar yang dibina khas (PBSA), dan pejabat ‘hijau’.

Pada separuh pertama 2025 sahaja, sektor BTR telah menarik pelaburan sebanyak £2.2 bilion.

Kedua-dua projek 75 London Wall dan 25 Finsbury Circus menyasarkan untuk memperoleh pensijilan alam sekitar tertinggi seperti BREEAM ‘Outstanding’, menjadikan ia amat bernilai di mata penyewa korporat antarabangsa.

Kepakaran kejuruteraan Malaysia turut terserlah melalui projek IJM. Projek Royal Mint Gardens yang siap pada 2019, dibina di atas dua landasan kereta api yang masih aktif, satu pencapaian teknikal yang amat kompleks dan mengagumkan.

Kejayaan ini membuktikan keupayaan IJM untuk mengendalikan projek pembangunan berorientasikan transit yang rumit, memberikan mereka kelebihan besar dalam usaha sama dengan Network Rail.

Transformasi aset terbiar menjadi mercu tanda moden adalah tema utama kejayaan ini.

Selain Battersea Power Station, IJM turut mengambil alih tapak kilang bersejarah Shredded Wheat di Welwyn Garden City untuk projek The Wheat Quarter, yang menggabungkan elemen warisan dengan reka bentuk komuniti moden.

Keyakinan pasaran terhadap projek-projek ini amat jelas. IJM telah berjaya mendapatkan firma guaman antarabangsa Simmons & Simmons sebagai penyewa utama untuk 62 peratus ruang di 25 Finsbury Circus melalui perjanjian sewa selama 20 tahun.

Gamuda juga yakin dapat memperoleh komitmen penyewaan untuk 75 London Wall sekurang-kurangnya enam bulan sebelum ia dijangka siap pada Disember 2027.

Back To Top