Sunway Labuan Investment Ltd dan Sunway City Sdn Bhd Peroleh Saham HongKong Land Bernilai RM2.4 Billion

Sunway Labuan Investment Ltd dan Sunway City Sdn Bhd memeterai perjanjian jual beli (SPA) dengan Hongkong Land International Holdings Ltd (HLIHL) bagi memperoleh kesemua terbitan saham Hongkong Land (MCL) Holdings Ltd (HLMCL) pada harga S$738.7 juta (RM2.4 bilion).

Sunway Labuan Investment adalah anak syarikat milik penuh Sunway City yang merupakan entiti milik penuh Sunway Bhd.

Dalam kenyataannya kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata tanpa mengambil kira perkara di luar jangka, cadangan pengambilalihan itu dijangka selesai pada suku keempat 2025.

Usaha pengambilalihan itu juga selaras dengan hala tuju strategik Kumpulan Sunway untuk mengembangkan jejak serantau, mengukuhkan portfolio pembangunan hartanah dan pelaburan hartanah di Singapura dan Malaysia menerusi projek serta aset yang dapat menjana pendapatan selain memberi maklumat mengenai pendapatan jangka masa terdekat sehingga sederhana.

“Pengambilalihan itu turut memberi peluang kepada Sunway meningkatkan lagi simpanan tanah di Singapura dan Malaysia dengan akses segera kepada pelbagai projek pembangunan hartanah pada kos lama dan sekali gus dapat mengurangkan risiko pelaksanaan berbanding tender tanah baharu,” katanya.

Pada masa sama, langkah itu dapat menjana manfaat dari segi sinergi menerusi keupayaan dan platform rantaian nilai hartanah kukuh dimiliki oleh Kumpulan HLMCL.

Ini membantu Sunway mengembangkan jejak pembangunan hartanahnya di Singapura dan Malaysia serta keyakinan terhadap asas makroekonomi jangka panjang bagi pasaran itu.

Selain itu, kumpulan berkenaan menyifatkan gabungan kepakaran mendalam pasaran Kumpulan HLMCL bersama rekod prestasi Sunway dalam pembangunan lestari dan bersepadu tidak hanya membantu membina platform yang kukuh bagi mempercepatkan pertumbuhan di Singapura, malah di pasaran serantau utama.

“Penyelarasan strategik ini bertujuan membentuk masa depan pembangunan bersepadu serta kehidupan bandar di Asia Tenggara,” katanya.

Back To Top