Unit milik penuh Pharmaniaga Bhd, iaitu Pharmaniaga Logistics Sdn Bhd memeterai perjanjian jual beli (SPA) dengan N H Development Sdn Bhd untuk memperoleh hartanah di Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang pada harga RM30 juta.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat farmaseutikal itu berkata, hartanah tersebut terdiri daripada sebuah kilang satu tingkat berkembar dengan bangunan pejabat dua tingkat di atas sebidang tanah pegangan bebas seluas 1.09 hektar (2.70 ekar).
Pengambilalihan itu selaras dengan kewajipannya di bawah perjanjian konsesi yang dimeterai dengan Kementerian Kesihatan pada 3 Januari 2023.

“Pengambilalihan itu juga konsisten dengan strategi pengembangan syarikat untuk meningkatkan kapasiti logistik dan pengedarannya, terutama di wilayah utara Semenanjung Malaysia bagi menambah baik kecekapan dalam memberikan perkhidmatan kepada pelanggan serta menyokong pertumbuhan perniagaan pada masa depan,” katanya.
Pharmaniaga berkata, SPA itu dijangka tidak memberi sebarang kesan material ke atas perolehan dan pendapatan sesaham kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025.