Penyingkiran secara mengejut Menteri Kewangan Indonesia yang berpengaruh, Sri Mulyani Indrawati, mengejutkan pasaran, kerana pelabur bimbang kredibiliti fiskal yang dibina dengan penuh gigih akan terhakis oleh rancangan perbelanjaan populis di bawah Presiden Prabowo Subianto.
Pelabur global melihat Sri Mulyani — salah seorang menteri kewangan paling lama berkhidmat di Indonesia dalam tiga penggal berbeza — sebagai tonggak penting dalam pertaruhan mereka terhadap ekonomi terbesar Asia Tenggara.
Pemergiannya sebelum ini telah menyebabkan kejatuhan pasaran.
Berita mengenai pemecatan beliau menyebabkan nilai rupiah menjunam lebih satu peratus hari ini, memaksa Bank Indonesia campur tangan bagi menstabilkan mata wang.
Rupiah kali terakhir berada pada paras 16,488 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), turun lebih satu peratus.
Saham di Jakarta merosot 1.6 peratus, kejatuhan harian terbesar sejak Jun.
“Mulyani adalah benteng kepada dasar fiskal berhemah,” kata ahli strategi ekuiti pasaran membangun dan geopolitik di Tellimer, Hasnain Malik.
“Pemergiannya akan menimbulkan kebimbangan terhadap defisit yang semakin melebar di bawah kepimpinan Prabowo yang kini berada di bawah tekanan selepas tercetusnya protes.

Penggantian Sri Mulyani dengan Purbaya Yudhi Sadewa — seorang ahli ekonomi yang berjanji untuk mempercepat pertumbuhan — berlaku pada waktu yang genting bagi Indonesia, yang sedang bergelut dengan protes besar-besaran dan ketidakstabilan selama dua minggu berturut-turut.
Tuntutan untuk sistem percukaian yang lebih adil semakin lantang ketika Prabowo berdepan cabaran terbesar dalam pentadbirannya setakat ini, manakala program makanan percuma utama yang menyasarkan penyediaan makanan kepada lebih 80 juta rakyat Indonesia bergelut dalam tahun pertamanya.
Persoalan utama bagi pasaran adalah sama ada Prabowo boleh mendapatkan segalanya sekali gus,” kata ahli ekonomi kanan untuk Asia membangun di Natixis, Trinh Nguyen.
“Untuk membiayai program makanan itu, beliau (Mulyani) terpaksa membuat keputusan sukar dengan memotong perbelanjaan secara agresif bagi memastikan kelestarian fiskal.”

Sri Mulyani menerima pujian kerana mereformasi sistem percukaian dan dianggap sebagai watak utama yang memperkukuh prestasi fiskal Indonesia serta menarik keyakinan pelabur.
“Isunya adalah bagaimana Menteri Kewangan baharu akan membiayai program makanan yang bersamaan 1.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), dan pada masa sama meningkatkan perbelanjaan untuk sektor seperti pertahanan — tanpa menambahkan lagi defisit. Itu akan menjadi kebimbangan utama pelabur,” kata Nguyen.
Purbaya memberitahu media bahawa sasaran pertumbuhan ekonomi sebanyak lapan peratus oleh Presiden ‘bukan mustahil’, dan beliau akan mencari jalan untuk mempercepat pertumbuhan ekonomi serta menggalakkan penglibatan lebih besar dari sektor swasta dan kerajaan.
“Indonesia sejak sekian lama terkenal dengan disiplin fiskal yang tinggi. Oleh itu, langkah ke arah defisit yang lebih agresif mungkin akan menimbulkan kebimbangan kepada pelabur,” kata pengurus portfolio utama untuk hutang pasaran membangun di Federated Hermes, Jason De Vito.
Bon antarabangsa Indonesia jatuh, dan tumpuan kini adalah sama ada pemergian Sri Mulyani akan menyebabkan pengunduran besar-besaran pelabur global.
Pelabur asing kini hanya memegang kurang daripada 14 peratus sekuriti kerajaan Indonesia yang masih belum matang, turun daripada kira-kira satu perempat pada Disember 2020 — dengan pasaran bon hasil tinggi Indonesia diketahui sangat tidak stabil ketika episod inflasi yang melonjak sebelum ini.
Rizab pertukaran asing Indonesia berjumlah AS$150.7 bilion pada akhir Ogos, turun daripada AS$152 bilion sebulan sebelumnya, menurut data bank pusat semalam, menunjukkan bahawa bank pusat masih mempunyai ‘kuasa’ yang mencukupi untuk mempertahankan mata wang.

“Bank Indonesia akan terus berada di pasaran bagi memastikan kestabilan kadar pertukaran dan kecairan rupiah yang mencukupi,” kata ketua pengurusan monetari bank pusat, Erwin Gunawan Hutapea.
“Rupiah (IDR) mungkin terpaksa menanggung tekanan… sehinggalah terdapat keyakinan yang lebih jelas mengenai maksud rombakan kabinet terhadap perbelanjaan bajet dan sumber pembiayaannya pada masa akan datang,” kata ketua strategi makro Asia di BNY Investment Institute, Aninda Mitra.
“Peserta pasaran mahukan kepastian mengenai dasar fiskal dan tangan yang stabil dalam pengurusan kewangan negara.”
-Reuters