YTL Beli Hotel Thistle Johor Bharu Dari Pemaju Hartanah Singapura

Pemaju hartanah Singapura, GuocoLand Ltd menjual hotel Thistle Johor Bahru dan tanah yang menempatkannya dengan harga RM150 juta.

Pembeli hotel lima bintang itu ialah YTL Hotels & Properties, sebuah anak syarikat YTL Corp, demikian menurut GuocoLand dalam satu makluman kepada Bursa Saham Singapura (SGX) hari ini.

“Urus niaga ini memberikan peluang untuk merealisasikan nilai modal hartanah dan aset tersebut,” kata GuocoLand.

Gabungan hartanah tersebut mempunyai nilai buku bersih sebanyak RM93 juta, dengan keluasan tanah kira-kira 24,040 meter persegi.

Oleh itu, GuocoLand dijangka memperoleh keuntungan bersih sekitar RM35 juta selepas penjualan diselesaikan.

Thistle Johor Bahru terletak dalam jarak 10 minit pemanduan dari sempadan darat ke Singapura, yang merupakan lintasan sempadan darat tersibuk di dunia.

Ia mempunyai 381 bilik, termasuk 347 bilik dengan pemandangan bandar dan laut, serta 34 suite.

Hotel ini juga menawarkan enam lokasi makanan dan minuman, kolam renang gaya resort dua tingkat, spa, pusat kecergasan, gelanggang tenis, serta kemudahan mesyuarat dan jamuan.

Dalam tahun kewangan yang berakhir 30 Jun 2025, segmen perhotelan YTL melalui YTL Hospitality REIT mencatatkan keuntungan bersih RM148.6 juta, menurun berbanding tahun sebelumnya. Sumbangan perhotelan kepada keseluruhan Kumpulan YTL adalah kecil, iaitu hanya sebahagian daripada keuntungan kumpulan sebanyak RM1.88 bilion.

Back To Top